PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sedang menentukur semula hala tuju dan pendekatannya.
Pengerusinya, Datuk Kamil Othman berkata, cabaran utama yang dihadapi Finas ialah kebanyakannya masih belum mengiktiraf industri perfileman sebagai sektor yang mampu memacu ekonomi.
“Ramai masih melihatnya hanya melalui perspektif hiburan,” katanya pada program One Step Closer: Panduan Pengurusan Projek Cemerlang Bagi Syarikat Yang Berminat Memohon Dana Kandungan Digital (DKD), Khamis.
“Industri ini perlu diiktiraf sebagai kawasan pertumbuhan ekonomi…buat masa ini, ia hanya diiktiraf dari sisi hiburan.”
Beliau memetik perniagaan hiburan Korea Selatan dan berkata sektor itu berkaitan dengan semua aktiviti ekonomi.
“Malangnya, kesalinghubungan seumpama ini tidak wujud di Malaysia kerana kita menghasilkan filem semata-mata untuk hiburan,” katanya.
Beliau juga berkata tumpuan terlalu banyak diberikan pada sisi glamor industri perfileman.
“Industri filem tempatan memerlukan perubahan sikap…malah kebanyakan laporan berita masih berkisar tentang selebriti.
“Di AS, mereka seimbang – mereka mempunyai cerita tentang selebriti, tetapi pada masa sama, industri mereka kukuh.
“Industri kita sudah lama wujud, tetapi ia hanya mula berkembang secara holistik sekarang.”
Beliau juga berharap kerajaan negeri dapat melihat industri perfileman sebagai enjin ekonomi yang boleh menjana pekerjaan dan merancakkan sektor pelancongan.
“Sebagai contoh, terdapat dua hingga tiga babak dalam penggambaran filem di Waterfront, dan penonton yang tertarik dengan tempat itu akan mencarinya untuk dilawati.
“Ini tidak berbeza dengan pengunjung yang pergi ke New Zealand untuk melihat set
Lord of the Rings,” katanya.