Kota Kinabalu: Pesron Sabah (Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya Sabah) berhasrat untuk mengambil inisiatif mengumpul dana sendiri bagi membiayai program mereka.
Presidennya Tan Hwa Koon mendedahkan perkara itu semasa kunjungan hormat kepada setiausaha tetap Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mansur Asun di pejabatnya baru-baru ini.
Beliau berkata dana tambahan yang mereka harap dapat diperoleh daripada syarikat korporat yang akan dilakukan melalui program pengecualian cukai adalah perlu bagi membantu sukan itu susulan kejayaan atlet mereka di Sukan Para Asean di Kemboja baru-baru ini.
Abdul Halim Bin Mohammad yang memenangi lima emas dan satu gangsa pada kejohanan itu bersama Brenda Anellia Larry (satu perak), Ethan Khoo (dua emas, dua perak dan dua gangsa), Jaflee Jikol (satu gangsa) dan Jonathan Wong (satu perak) adalah antara anggota rombongan yang diketuai oleh Tan dan timbalannya Dr Anil Kumar.
Turut hadir pada pertemuan itu ialah Pengarah Majlis Sukan Sabah Asneh Mohd Noor dan beberapa jurulatih Para.