Tuaran: Polis mengesahkan penahanan seorang lelaki warga tempatan berusia 29 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes gangguan seksual terhadap tiga wanita di Pekan Tuaran di sini, Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Noraidin Ag Maidin berkata hasil siasatan mendapati, suspek adalah pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) bagi kategori kurang upaya mental dan merupakan pesakit berdaftar di Hospital Mesra Bukit Padang, Kota Kinabalu.
Katanya susulan penahan terbabit, suspek turut diarahkan menjalani ujian saringan air kencing dan didapati positif dadah.
“Pada 24 Jun lalu sekitar jam 1 sehingga 4 petang, pihak polis menerima laporan daripada tiga mangsa wanita berusia 15 sehingga 31 tahun mendakwa mereka dicabul oleh suspek di lokasi berasingan.
“Wang tunai milik salah seorang mangsa turut dilarikan suspek yang tiba-tiba memeluk mangsa dari arah belakang dan bertindak agresif sebelum melarikan satu beg tangan,” katanya.
Menurut Noraidin, suspek yang menetap di daerah Tuaran itu baru sahaja dibenarkan keluar dari hospital tiga hari lalu dan dijadualkan menjalani rawatan susulan setiap minggu.
“Orang ramai tidak perlu gusar kerana suspek sudahpun ditahan dan dihantar ke Hospital Mesra Bukit Padang untuk tindakan lanjut.
“Kami juga menasihatkan orang awam agar segera menghubungi polis atau membuat laporan di balai polis berhampiran jika kejadian seperti itu berulang,” katanya.
Sejak Ahad lepas, beberapa gambar suspek dan rakaman salah satu kejadian menerusi kamera litar tertutup (CCTV) tular di laman sosial dan membimbangkan pelbagai pihak.