Kota Kinabalu: Seorang penjual buah-buahan dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan pecah masuk dan mencuri.
Muhd Faizal Mursidi, 26, mengaku bersalah di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles atas pertuduhan memecah masuk ke dalam pejabat EF Borneo (Intervention & Therapy), di Wisma KKM, batu 5, Jalan Tuaran, Likas pada 2.30 pagi 16 Jun dan mencuri lima unit komputer riba milik pejabat bernilai RM3,995.
Faizal telah melakukan kesalahan itu bersama seorang subahat yang masih bebas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun, jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa seorang pengadu membuat laporan polis selepas mendapati pejabat itu dipecah masuk dan komputer riba adalah antara barang berharga yang hilang.
Siasatan polis mendapati dua lelaki bertopeng dikesan melalui kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran, memecah masuk ke dalam pejabat itu, mahkamah diberitahu.
Bertindak atas maklumat, polis menahan Faizal pada 20 Jun lalu, kata pihak pendakwaan.
Faizal mengaku melakukan perbuatan itu bersama abangnya, yang masih bebas.
Peguam dilantik Carmen Khoo, yang mewakili Faizal, memohon hukuman ringan kerana dia sudah berkahwin dengan seorang anak dan merupakan pencari nafkah keluarganya.
Mahkamah memerintahkan Faizal menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap.
Dalam kes lain, seorang lelaki berusia 28 tahun didenda RM1,500 atau penjara tiga bulan kerana menyimpan barang curi.
Muhd Salman Dilah mengaku menyimpan satu unit Power Amp yang dicuri milik Madarais Sido pada 1.15 pagi 26 Jun lalu di tepi jalan Kg Bangka-Bangka di sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, seorang lelaki tanpa dokumen dipenjara dua bulan kerana menceroboh sebuah rumah. Azri Rujil mengaku bersalah melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kg Likas pada 7.30 malam, 7 Jun lalu.
Kesalahan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM3,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Azri diperintahkan menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap.
Pendakwaan dilakukan oleh Inspektor Kelvan Elson Maik.