Kota Kinabalu: Pampasan kerosakan kenderaan akibat jalan raya rosak boleh dilakukan menerusi proses di mahkamah, kata Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya.
Shahelmey, yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata pengguna jalan raya perlu membuat laporan dan menyertakan bukti mencukupi untuk membuat tuntutan berkenaan.
“Kena buat laporan dengan bukti-bukti yang mencukupi. Case to case basis, boleh (tuntut). Kena buat laporan dan melalui proses di mahkamah,” katanya kepada media selepas melancarkan Minggu Integriti Kementerian Kerja Raya di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah pengguna jalan raya di negeri ini boleh membuat tuntutan pampasan daripada JKR jika berlaku kerosakan kenderaan disebabkan keadaan jalan raya yang rosak.
Baru-baru Harian Ekspres melaporkan bahawa Mahkamah Majistret Sipitang mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) membayar pampasan sebanyak RM5,000 kepada bekas kakitangan Sabah Forest Industries Sdn Bhd (SFI) yang terlibat dalam kemalangan di laluan projek Pan Borneo.
Mengenai perkembangan peruntukan sebanyak RM320 juta daripada kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan isu bekalan air di Sabah, Shahelmey berkata jawatankuasa teknikal sudah mengadakan mesyuarat bagi memperhalusi tatacara peruntukan itu disalurkan.
“Duit belum disalurkan. Ada jawatankuasa teknikal telah bermesyuarat dua kali untuk memperhalusi tatacara penyaluran dan sebagainya.
“Bagaimanapun, di peringkat negeri kita terus jalankan usaha untuk menstabilkan bekalan air dan saya berpendapat ia sudah mulai dirasai oleh sebahagian penduduk sekitar Kota Kinabalu, Tuaran dan Putatan,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai perkembangan Loji Rawatan Air (LRA) Telibong 2, Shahelmey memaklumkan bahawa ia sedang dalam proses dan pemasangan paip juga sudah hampir diputuskan.
“Kita berharap kerja-kerja fizikal akan dapat dilaksanakan dalam tahun ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Shahelmey yakin salah guna kuasa dalam proses perolehan kontrak tidak akan berlaku selagi pegawai di bawah kementeriannya mengikut tatacara yang digariskan kerajaan.
Katanya, dalam proses perolehan kontrak di jabatan-jabatan kerajaan mempunyai tatacara yang telah digariskan oleh kerajaan.
“Selagi pegawai-pegawai kita melaksanakan ‘due diligence’ dalam proses perolehan tersebut, InsyaAllah boleh terhindar daripada budaya atau kejadian penyalahgunaan kuasa,” katanya.
Beliau menjawab soalan pemberita mengenai bagaimana kementerian itu dapat menghindarkan unsur rasuah daripada pihak kontraktor yang ingin membida kontrak daripada jabatan di bawah kementeriannya.
Mengenai pelancaran Minggu Integriti itu, Shahelmey berharap budaya kerja dan integriti warga KKRS dan agensi di bawahnya akan terus diserap untuk dijadikan budaya sepanjang memberikan perkhidmatan.
“Apabila budaya kerja berintegriti ini sudah dapat diterapkan maka sistem penyampaian kerja, sistem perkhidmatan akan dapat dipertingkatkan dan diperbaiki.
“Hasilnya nanti kita dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik,” ujarnya.
Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Shahelmey menegaskan bahawa integriti bukan hanya tertumpu kepada isu berkaitan rasuah semata-mata, sebaliknya ia merupakan satu konsep yang jauh lebih besar dan meluas.
“Amalan kerja harian juga menuntut integriti. Kita perlu berintegriti dalam konteks ketepatan waktu bekerja, berintegriti dalam menyampaikan maklumat dan berintegriti dalam memberi perkhidmatan terbaik.
“Malah, mengamalkan budaya berintegriti dalam hubungan sesama rakan sekerja di sesebuah organisasi juga adalah satu amalan yang sangat mulia dan digalakkan,” katanya.
Turut hadir pada program itu ialah kedua-dua pembantunya, Datuk Limus Jury dan Datuk Robert Tawik, Setiausaha Tetap KKRS Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim dan Timbalan Pengarah (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah.