Kota Kinabalu: Seorang warga Filipina berusia 19 tahun yang sebelum ini diperintah membela diri atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap teman wanitanya yang di bawah umur, mengaku bersalah atas pertuduhan itu.
Remaja itu memutuskan untuk mengakui pertuduhan terhadapnya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad, semasa sambungan perbicaraan (pembelaan) pada Isnin.
Bagaimanapun, mahkamah menangguhkan hukumannya kepada 31 Julai tahun ini sementara menunggu laporan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Pada 10 Apr tahun ini, remaja itu diperintahkan membela diri selepas mahkamah memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Remaja berusia 18 tahun ketika kejadian didakwa melakukan kesalahan itu terhadap gadis berusia 15 tahun lapan bulan itu dengan meraba kemaluannya, menciumnya, membuat ‘gigitan cinta’ dan cuba melakukan hubungan seks dengannya.
Kesalahan itu didakwa berlaku antara 10 pagi dan 9 malam pada 9 Apr 2022 di sebuah unit pangsapuri di Jalan Ketiau, Putatan.
Kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan sebat, jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan telah memanggil lima saksi semasa perbicaraan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suriyati Jumain manakala peguam Amli Nohin mewakili tertuduh yang memiliki sijil kelahiran itu.