Kota Kinabalu: Sabah diwakili 36 pemain daripada enam pasukan yang bertanding dalam kejohanan boling Sarawak Hornbill Team Cup 2023 yang bermula Selasa di 40 lorong AMF Synthetic, Megalanes EMart di Batu Kawah, di Kuching, Sarawak.
Presiden Persatuan Tenpin Boling Sabah Rozzainny Sham Talip berkata kejohanan lima hari itu menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM80,000 akan menjadi ujian berharga kepada pemain Sukan Malaysia (Sukma).
“Kejohanan yang turut menarik minat pasukan dan pemain dari luar negara ini amat penting untuk menguji tahap prestasi pemain kita khususnya yang akan mewakili Sabah pada Sukma 2024 yang akan diadakan di venue sama,” katanya pada Selasa.
Menurutnya, kontinjen itu diketuai oleh timbalannya Aisyah Abdullah dan beliau dibantu oleh Supiah Asim.
Pengurus pasukan ialah Ag Sharil Karim, Mohd Kamsul Shah, Vivian Lee dan Irnee Bakri manakala jurulatih ialah Ricky Loh dan Azami Inal.