KETUA Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata Sabah akan membina kemudahan pelancaran angkasa lepas ke-16 di dunia jika kajian memberikan petunjuk positif.
Kajian kebolehlaksanaan itu masih di peringkat awal dan akan mengambil masa enam hingga 12 bulan dan tertakluk kepada kelulusan lanjut oleh Kabinet Sabah dan Persekutuan.
“Ini akan meletakkan Malaysia sebagai negara kesembilan yang mempunyai kemudahan sebegitu dan seterusnya melonjakkan Sabah menjadi sebuah Negeri terkemuka yang berpotensi dalam konteks pemindahan pengetahuan dan teknologi aeroangkasa peringkat tinggi di Malaysia,” katanya.
Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kajian Kebolehlaksanaan Cadangan Pembangunan Industri Angkasa di Sabah pada 23 Jun lalu diadakan sempena Anugerah Sains Sabah (MASS) 2023 di Shangri-La Tanjung Aru di Kota Kinabalu.
Ia ditandatangani antara tiga pihak - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah yang diwakili oleh Setiausaha Tetapnya Datuk Zainudin Aman, Sovereign Sengalang Sdn Bhd diwakili oleh Pengarah Urusan Kumpulan/Timbalan Pengerusi Mohd Ezra Effendi, dan Yuzhnoye State Design Office yang diwakili oleh Denys MyKhailiuk, (Charge d’ Affaires ad interim, Kedutaan Ukraine).
“MoU ini tepat pada masanya untuk mengkaji kebolehlaksanaan pembinaan Pusat Pelancaran Angkasa Antarabangsa Sabah di lokasi yang akan ditentukan kemudian.
“Pembinaan itu akan memacu pertumbuhan antara 300 hingga 500 syarikat hiliran dalam industri aeroangkasa seperti pembinaan, elektronik dan logistik.
“Selain itu, ia membuka lebih 90 peluang pekerjaan bergaji tinggi dan kira-kira 5,000 peluang pekerjaan secara keseluruhan serta limpahan dan kemakmuran ekonomi di Sabah,” kata Hajiji.
Beliau berkata kedudukan Sabah sangat strategik dan pada halaju linear lurus maksimum (Maximum Straight Linear Velocity) yang secara tidak langsung dapat mengurangkan kos pelancaran kenderaan angkasa yang akan terus ke ruang udara antarabangsa tanpa melalui ruang Indonesia.
“Ini juga akan dapat melonjakkan pencapaian negeri dalam bidang STIE (Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi) dan merangsang minat belia dalam sektor aeroangkasa.
“Selain itu, kemudahan pelancaran ‘Cyclone’ akan menjadi pemangkin baharu kepada sektor pelancongan negeri,” katanya.
Ia akan mengembalikan anggaran 20 peratus daripada hasil daripada setiap pelancaran kenderaan angkasa yang dianggarkan mencecah RM200 juta setahun.