Kota Kinabalu: Sebanyak 2,100 peluang pekerjaan telah diwujudkan oleh projek pembuatan kaca solar dan pemprosesan pasir silika di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Kudat, tetapi lebih daripada 800 pekerjaan masih kosong dan boleh dimohon oleh rakyat Sabah, menurut seorang pegawai kanan kerajaan Sabah.
SBH Kibing Solar New Materials (M) Sdn Bhd dan SBH Kibing Silicon Materials (M) Sdn Bhd adalah merupakan antara pelabur besar di Sabah dengan anggaran nilai pelaburan sejumlah RM2.48 bilion bagi pembangunan kilang pembuatan kaca solar di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan kilang pemprosesan pasir silika di Kudat.
“Pada masa ini, hanya sejumlah 54% peluang pekerjaan telah diisi berdasarkan anggaran jumlah peluang pekerjaan yang diwujudkan,” kata Chan Loong Wei, Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah dalam kenyataan media hari ini.
“Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan telah mengambil langkah proaktif untuk menangani keperluan tenaga kerja yang mendesak ini dengan mengadakan mesyuarat bersama Jabatan dan Agensi yang berkaitan serta institusi kemahiran dan pengajian termasuk Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Politeknik Kota Kinabalu pada hari ini yang telah dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian bagi memastikan kekosongan jawatan ini dapat diisi sebelum kilang syarikat pelabur beroperasi yang dijangkakan pada penghujung tahun ini.”
Dianggarkan sejumlah lebih dari 800 peluang pekerjaan yang masih boleh dimohon oleh rakyat Sabah, tambah beliau.