Kota Kinabalu: Meraih tiga mata adalah satu kemestian buat Badak apabila mereka berdepan Sri Pahang FC dalam pertembungan Liga Super di sini di Stadium Likas Sabtu ini.
Ketua jurulatih Datuk Ong Kim Swee berkata pasukannya yang ketika ini berada di tangga kelima liga mesti mendapatkan mata maksimum jika mahu merapatkan jurang dengan pesaing mereka itu yang berada di tangga ketiga.
“Hanya ada empat mata yang memisahkan kami dan Sri Pahang FC, jadi pemain perlu memastikan tiga mata dapat dikutip di sini di Stadium Likas.
“Kami sedang membuat persiapan rapi sebelum perlawanan pada ketika ini dan pemain-pemain digesa untuk mengekalkan fokus mereka dan mesti mengelak daripada melakukan sebarang kesilapan yang mungkin boleh menafikan kemenangan kami.
“Sri Pahang meraih kemenangan dalam tiga perlawanan sebelum ini dan sudah pasti mereka mempunyai kelebihan dengan prestasi semasa mereka, tetapi Sabah FC bersedia untuk memberi mereka saingan sengit dan kami tidak akan menyerah dengan mudah.
“Pemain-pemain telah diarahkan untuk tidak memberi mereka sebarang ruang dan peluang untuk menguasai permainan, matlamat kami adalah untuk mendapatkan keputusan positif daripada perlawanan itu,” katanya pada Rabu.
Kedua-dua pasukan sebelum ini seri 1-1 dalam perlawanan pusingan pertama yang berlangsung pada Mac, yang turut menyaksikan Ong dilayangkan kad merah kerana mempersoalkan keputusan pegawai perlawanan.
Sementara itu, Ong enggan memperbesar-besarkan isu kecederaan dalam pasukan dan berkata terdapat pemain yang cukup bagus untuk perlawanan itu.
“Pada masa ini, Telmo (Ferreira) dan Cifu (Miguel Angel Garrido Cifuentes) masih mengalami kecederaan, tetapi ketiadaan mereka tidak menjejaskan persiapan kami menjelang perlawanan.
“Kami masih mempunyai beberapa hari lagi untuk menjalani latihan sebelum perlawanan, saya harap mereka mempunyai masa untuk pulih dan dapat membantu pasukan,” katanya.