Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 43 tahun dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada pertuduhan melakukan gangguan seksual fizikal terhadap anak tirinya.
Lelaki itu diberikan DNAA oleh mahkamah selepas dimaklumkan terdapat perkembangan baharu dalam kes itu.
Mahkamah dimaklumkan oleh pihak pendakwaan bahawa Peguam Kanan Persekutuan memutuskan untuk memberikan DNAA kepada lelaki itu.
Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan terhadap remaja perempuan berusia 15 tahun itu dengan mengusap payudaranya pada awal Oktober 2021 di sebuah rumah, di sini.
Kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Disebabkan hubungan antara lelaki dan remaja itu, terdapat hukuman tambahan bagi kesalahan itu, yang tertakluk di bawah Seksyen 16(1) Akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, dan sekurang-kurangnya dua sebatan, jika sabit kesalahan.
Lelaki itu sebelum ini direman lanjut sementara menunggu pelupusan kesnya.