SEMPORNA: Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) diaktifkan untuk mengesan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang dilaporkan hilang selepas bot yang dinaikinya bersama tiga yang lain karam di Pulau Nusa Tengah, di sini, Jumaat.
Anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Semporna bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat daripada Ibu Pejabat Polis Semporna pada jam 2.41 petang.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri berkata tiga mangsa telah ditemui Pasukan Polis Marin.
“Dua daripada mereka selamat manakala seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun ditemukan lemas.
“Jabatan Bomba dan Penyelamat mengaktifkan SAR bersama agensi lain dan operasi membabitkan 3.225 batu nautika dari lokasi bot itu dilaporkan karam untuk menjejaki seorang lagi mangsa.
“Operasi ditangguhkan pada 4.50 petang hari ini (Jumaat) dan akan disambung esok,” katanya.
Sementara itu di LAHAD DATU, seorang remaja lelaki lemas ketika mandi sungai di Kampung Sepagaya, Batu 5, di sini, juga pada Jumaat.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Muhamad Zulaimie, 14, mandi bersama rakan-rakannya ketika kejadian itu berlaku.
“Kami menerima panggilan kecemasan pada jam 3.12 petang dan sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu bergegas ke lokasi kejadian dengan menaiki jentera bomba.
“Apabila pasukan kami tiba, mangsa telah ditemui oleh orang awam. Anggota Bomba dan Penyelamat melakukan CPR (Cardiopulmonary Resuscitation) ke atas mangsa, bagaimanapun, pegawai perubatan di tempat kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital di sini untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 4.52 petang.