Kota Kinabalu: Datuk Anthony Linggian dan Bruni Garip dari Sabah meneruskan kecemerlangan mereka dengan merangkul gelaran beregu lelaki pada Kejohanan Badminton Antarabangsa Senior Pulau Pinang yang berlangsung di kompleks sukan Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang dari 7-9 Julai.
Pasangan pilihan kedua itu merangkul gelaran dalam kategori 70 di atas menerusi kemenangan 30-14 ke atas pilihan utama Neoh Cheong Kooi dan R. Karunakaran A/L E.G. Retban pada perlawanan akhir yang hanya berlangsung selama 17 minit.
Bruni yang menduduki tempat teratas dalam acara perseorangan kemudiannya menewaskan Lim Chong Sek dari Pulau Pinang 30-7 dalam satu lagi aksi berat sebelah.
Ia merupakan gelaran perseorangan keempat Bruni sejak awal tahun ini, setelah menang sebelum ini dalam kejohanan World Morning Cup, All England Seniors Open dan Asia Pacific Master Games.
Dia dan Anthony juga merangkul gelaran beregu 70 tahun ke atas pada World Morning Cup dan Asia Pacific Master Games, manakala pada All England Senior Open, mereka menduduki tempat kedua.
Sementara itu, seramai 450 pemain termasuk penyertaan luar negara mengambil bahagian dalam pertandingan tiga hari anjuran kumpulan Badminton Antarabangsa Four Seasons di Pulau Pinang itu dengan 38 acara dipertandingkan.