Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 34 tahun dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan dikenakan dua sebatan kerana merompak seorang warga emas.
Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus menjatuhkan hukuman itu kepada Mohammad Sobrie Muali, selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah terhadap Mohamad.
Mohammad didapati bersalah menyamun Laina Houpin, 61, dan melarikan RM2,200, sepasang anting-anting emas serta seutas rantai leher emas pada 7.30 malam 9 April 2021 di tepi jalan berhadapan Klinik Pergigian La Dentista di Lorong Cyber City, di Tanjung Aru, di sini.
Dia disabitkan mengikut Seksyen 395/34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mohammad melakukan kesalahan itu bersama seorang lagi tertuduh, Joseph Gude yang telah mengaku bersalah kepada pertuduhan itu dan dijatuhkan hukuman setimpal.
Mahkamah memerintahkan Mohammad menjalani hukuman penjara itu dari tarikh tangkap kedua pada 4 Dis 2021.
Enam saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan telah dipanggil semasa pendakwaan.
Timbalan Pendakwa Raya Mas Izzaty Lokman hadir untuk pendakwaan.