Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 24 tahun dijatuhi hukuman penjara enam bulan pada Jumaat kerana menyerang seorang pemandu e-hailing, tiga bulan lalu.
Mohd Ghazali Hanif Mohd Datu Akjan mengaku bersalah di hadapan Majistret Jessica Ombou Kakayun atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap Adrian Edward pada 11.20 malam 26 April di Jalan Kg Likas di sini.
Ghazali didakwa bersama seorang lagi rakan subahat kerana melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama.
Pertuduhan itu membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan Ghazali, yang sedang menjalani hukuman atas kesalahan mengambil dadah, menjalani hukuman penjara itu berturut-turut dengan hukumannya sekarang.
Terdahulu, mahkamah dimaklumkan oleh pihak pendakwaan bahawa pada hari tersebut semasa pemandu menghantar dua lelaki yang menempah perkhidmatan itu, ke lokasi mereka, seorang daripada mereka meminta pemandu berhenti di sebuah kedai runcit untuk membeli minuman.
Pengadu berasa curiga kerana terpaksa menunggu lama dan meminta lelaki lain yang duduk di dalam kereta itu untuk keluar dari kereta, kata pihak pendakwaan.
Lelaki itu berasa tidak puas hati dan menyuruh pemandu itu keluar sebelum dia dan penumpang seorang lagi, yang sebelum itu turun dari kereta, menumbuk mukanya, menyebabkan pemandu itu mengalami lebam, mahkamah diberitahu.
Ghazali, yang tidak diwakili peguam, memohon hukuman ringan manakala pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal.
Dalam kes lain, seorang lelaki didakwa mengugut untuk menyebabkan kecederaan parah kepada adik lelakinya dengan pedang samurai.
Abdul Habir mengaku tidak bersalah melakukan kesalahan itu terhadap Mohd Haider pada 9.15 pagi 10 Jun lalu di sebuah rumah di Kg Warisan, Inanam.
Dia mendakwa berasa marah apabila dikejutkan daripada tidur pada pagi itu.
Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Pengadu yang hadir di mahkamah, memberitahu mahkamah bahawa dia ingin menarik balik kes itu dan akan membuat laporan polis untuk menarik balik laporan terdahulu terhadap tertuduh sambil menambah tiada sesiapa yang memaksanya berbuat demikian.
Pihak pendakwaan memohon tarikh lain sementara menunggu arahan daripada pejabat Timbalan Pendakwa Raya, dan membantah jaminan kerana tertuduh dan pengadu tinggal di rumah yang sama.
Mahkamah menetapkan 3 Ogos ini untuk sebutan semula dan memerintahkan tertuduh direman lanjut.
Pendakwaan dilakukan oleh Inspektor Albert Basiri.