Tuaran: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kelapan bagi mengesan remaja lelaki yang dilaporkan lemas di Sungai Tuaran, Kg Telibong Tamparuli pada 8 Julai lalu, dihentikan selepas mayatnya ditemukan orang awam di daerah Kudat pada Sabtu.
Mayat Mohd Hisham Iskandar Azli, 13, ditemukan oleh orang awam di tepi pantai Kg Rukom, Kudat kira-kira jam 9.10 pagi Sabtu sebelum memaklumkan pihak berkuasa berhubung kejadian itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 5 petang Sabtu.
“Operasi ditamatkan serta-merta selepas pasukan bomba menerima maklumat berhubung penemuan mayat mangsa di tepi pantai Kampung Rukom, Kudat.
“Ia juga selepas ahli keluarga mangsa selesai menjalankan pengecaman identiti pada jam 4.15 petang,” katanya.
Abdul Qawie berkata, pihaknya juga dimaklumkan mayat mangsa yang ditemui pada jarak lebih 100 kilometer dari lokasi kejadian itu sudah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Pada 8 Julai lalu, mangsa dilaporkan terjatuh dari Jambatan Gantung Kampung Damat – Kampung Lakang di Kg Telibong, Tamparuli.
Operasi kawasan SAR turut diperluaskan sejauh 17.6 kilometer sehingga Pantai Sabandar dengan kekuatan seramai 80 anggota yang terdiri dari Ibu Pejabat Polis Daerah Tuaran, Tiger Platun Pasukan Gerakan AM (PGA), Unit Selam Pasukan Polis Merin, Unit Dron Pasukan Gerakan Udara PDRM, Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM) Tuaran, Unit Selam JBPM, Unit K-9 JBPM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Hasil tinjauan sejak jam 8 pagi Sabtu juga mendapati lebih 100 orang awam turut serta membantu pasukan penyelamat di Sungai Tuaran dan muara Sungai Bolong.