SEMPORNA: Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) hari kedua untuk seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang hilang susulan kejadian bot karam di sini, pada Jumaat, masih buntu.
SAR bermula jam 10.13 pagi dengan radius pencarian 3.225 batu nautika dari lokasi bot itu dilaporkan karam.
Bagaimanapun, mangsa, Padli Ambit masih belum ditemui. Padli hilang selepas bot yang dinaiki bersama bapanya dan dua lagi karam akibat cuaca buruk di perairan Pulau Nusa Tengah.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri dalam satu kenyataan menyatakan Balai Bomba dan Penyelamat Air Semporna melancarkan SAR sebaik menerima panggilan kecemasan pada 2.41 petang Jumaat.
Dua lelaki dikenali sebagai Ambit Gopek, 25, bapa kepada Padli dan Katibin Husni, 28, ditemui selamat oleh Pasukan Polis Marin.
Bagaimanapun, anak lelaki Katibin, juga berusia tujuh tahun ditemui lemas.
Operasi SAR disertai Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam dan Taman-Taman Sabah.
SAR hari kedua ditangguhkan pada 5.57 petang Sabtu dan diteruskan Ahad.