RANAU: Angin kencang yang berlaku di seluruh negeri ketika ini terus menjejaskan penduduk apabila satu lagi kejadian pokok tumbang berlaku di sebuah rumah dekat sini, petang Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, tiada kemalangan jiwa dalam kejadian di kuarters Guru SMK Mat Salleh Ranau itu.
“Kami menerima panggilan melalui Talian Stesen jam 2.20 petang, sekumpulan lapan anggota diketuai Pegawai Operasi, Becket Gumat yang dilengkapi mesin FRT bergegas ke lokasi.
“Terletak 1km dari stesen, kita mendapati pokok tumbang menghempap rumah separuh kekal itu dan menyebabkan bumbung rumah rosak.
“Pasukan bomba dan penyelamat bertindak memotong dan mengalihkan pokok tumbang itu serta memastikan tiada bahaya lain di lokasi,” katanya sambil menambah tiada kecederaan dilaporkan.
Sementara itu, beliau berkata walaupun keadaan di Ranau masih terkawal, pihaknya bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan akibat keadaan berangin itu.
“Setakat ini kita menerima beberapa aduan atau laporan daripada orang ramai mengenai keadaan angin kencang. Sejak fenomena itu bermula beberapa hari lalu, terdapat kes pokok tumbang yang merosakkan harta benda.
“Terdapat laporan kes yang lebih serius seperti bumbung rumah diterbangkan angin. Kami berharap tiada kejadian sebegitu berlaku di sini sehingga keadaan cuaca bertambah baik,” katanya.
Ridwan menasihatkan orang ramai supaya menjaga keselamatan.
“Hadkan aktiviti luar yang lain buat sementara waktu, dan pastikan anak-anak kecil dijaga apabila mereka berada di luar.
“Paling penting, kekal selamat, elakkan daripada membuat sebarang pembakaran terbuka kerana ini akan membawa kepada pelbagai kemungkinan dan risiko keselamatan. Jangan berehat di bawah pokok atau dahan yang besar. Sekiranya sesiapa mendengar atau melihat sebarang situasi berbahaya di kawasan mereka, sila maklumkan kepada pihak berkuasa.
“Orang ramai boleh menghubungi kami melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Balai Bomba di 088-878779. Kami sedia membantu,” katanya.