Kota Kinabalu: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU), Isnin, dengan SK Nexilis bagi pembekalan elektrik kepada Loji Pembuatan Kerajang Tembaga SK Nexilis yang berpangkalan di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).
Pengerusi SESB Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata di bawah MoU yang merupakan perjanjian pembekalan elektrik, tarif khas akan diberikan kepada SK Nexilis dengan tujuan menarik pelaburan asing ke Sabah.
“Menerusi MoU ini, keistimewaan akan diberikan kepada SK Nexilis sebagai pengguna kuasa industri (LPC) terbesar SESB apabila kilangnya beroperasi sepenuhnya nanti,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian itu, di sini.
Anggaran penggunaan ialah 70MW dengan anggaran jualan 45,360MWj sebulan.
“Ini memberikan jangkaan jualan kepada SESB sebanyak RM122 juta setahun dan peningkatan jualan sebanyak 10.05 peratus.”
Bekalan kuasa loji SK Nexilis telah pun dimulakan pada bulan Mac.
“Projek ini dikenal pasti sebagai salah satu projek berimpak tinggi dengan skop penyediaan dua bilik suis dan kerja-kerja berkaitan di PMU Kayu Madang dan regangan kabel bawah tanah 132kV bagi menampung permintaan beban dari kilang SK Nexilis.
“Antara kerja yang dijalankan SESB ialah membekal, menghantar, menyiapkan pemasangan, ujian dan pentauliahan peralatan elektrik.
“Bagi mengurangkan kos projek ini, SESB telah mengambil inisiatif dengan mengenal pasti titik suntikan terdekat iaitu bekalan tenaga melalui PMU 132kV Kayu Madang ke kilang SK Nexilis dengan nilai kontrak RM33.7 juta,” katanya.
Projek itu, katanya, telah dilaksanakan secara pantas dalam tempoh enam bulan - secara konvensional, ia akan menjadi 18 bulan.
“Projek itu bermula pada 23 Jun tahun lalu dan siap sepenuhnya pada 22 Februari tahun ini. Kerja-kerja pentauliahan telah dijalankan pada 3 Mac tahun ini.
“Dengan siapnya projek ini, keupayaan dan keberkesanan pengagihan kuasa kepada SK Nexilis akan terjamin dan mampu memenuhi keperluan kilang pembuatan untuk beroperasi dengan lebih produktif dan seterusnya membantu dalam penjanaan ekonomi Negeri.”
Bagi tujuan ini, katanya, SESB komited untuk berfungsi sebagai pemboleh pertumbuhan ekonomi Sabah.
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan negeri Phoong Jin Zhe berkata kilang SK Nexilis itu dijangka siap pada penghujung tahun depan.
“Ia akan menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan Sabah. Daripada 400 peluang pekerjaan yang diwujudkan, penduduk tempatan akan mengisi 80 peratus.
“Dengan jumlah pelaburan RM4.2 bilion, ini adalah pelaburan terbesar yang ditandatangani dan ditubuhkan secara rasmi di Sabah,” katanya.
Phoong berkata Sabah merekodkan pelaburan asing berjumlah RM9.9 bilion berdasarkan laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) bagi tempoh Januari-September 2022, sekali gus meletakkan Sabah sebagai penerima pelaburan asing ketiga terbesar di Malaysia.
“Antara sektor yang dipilih oleh pelabur asing ialah minyak dan gas, tenaga, pertanian, perikanan, pelancongan, pembuatan dan lain-lain.
Beliau berkata Sabah mencatatkan pelaburan sebanyak RM11.5 bilion dalam pelbagai sektor ekonomi pada 2022.
Ia melibatkan 89 projek dan akan menjana 4,566 peluang pekerjaan, dan daripada jumlah pelaburan itu, sebanyak RM9.2 bilion adalah pelaburan langsung asing (FDI), manakala RM2.3 bilion adalah pelaburan langsung domestik.
Sektor pembuatan merupakan penyumbang terbesar RM8.4 bilion atau 72.9 peratus, manakala sektor utama menyumbang RM1.6 bilion dan sektor perkhidmatan menyumbang RM1.5 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif SESB Mohd Yaakob Jaafar, Setiausaha SESB Zunaida Osman, Ketua Pegawai Eksekutif SK Nexilis Malaysia Shin Dong Hwan dan Pengarah SK Nexilis Malaysia Kim Jasun menandatangani perjanjian itu.
Menyaksikan majlis itu ialah Phoong, Madius dan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Datuk Thomas Logijin.