Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 28 tahun dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan dikenakan tujuh sebatan kerana memiliki serta menanam sebatang pokok ganja.
Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus menjatuhkan hukuman itu kepada Nicklen Jaccqres, selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah terhadap Nicklen, pada Isnin.
Nicklen didapati bersalah kerana memiliki dan menanam pokok ganja setinggi 44.7cm seberat 6.38 gram itu pada 2.40 petang 19 Ogos 2020, di dalam bilik sebuah rumah di Kg Bahang, Jalan Hungab Nosoob di Penampang.
Dia disabitkan di bawah Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) Akta sama, yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan sekurang-kurangnya enam sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan Nicklen menjalani hukuman penjara itu dari tarikh dia ditangkap pada 19 Ogos 2020.
Semasa rayuan, peguam P.J Perira yang mewakili Nicklen, memohon hukuman setimpal mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya.
Dia memaklumkan kepada mahkamah bahawa Nicklen adalah pesalah kali pertama.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Tham Pou Jin menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman lebih berat memandangkan kesalahan itu berleluasa dan serius.
Pihak pendakwaan telah memanggil enam saksi sementara pihak pembelaan hanya memanggil seorang saksi.