TAWAU: Lapan tertuduh kes bunuh pemandu e-hailing pada Januari lalu, termasuk bekas Ketua Staf Perisikan ESSCOM mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Tawau, pada Selasa.
Kesemua tertuduh yang merupakan pegawai dan anggota polis serta seorang orang awam wanita mengangguk tanda faham dan mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan masing-masing dibacakan di hadapan Hakim Dr. Lim Hock Leng.
Datuk Mat Zaki Md Zain, 58, berdepan dua pertuduhan iaitu bersubahat dengan Rosdi Kastam, Dennis Anak Enit, Fabian Anak Rungan, Khairul Azman Bakar, Mohd Azlan Sakaran dan Vivien Fabian (orang awam) membunuh Nurman Bakaratu, 61, di Ladang Kelapa Sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Batu 5 di antara jam 7.30 hingga 11.30 malam pada 13 Januari 2023.
Tertuduh turut berdepan pertuduhan bersubahat dengan John Kennedy Anak Sanggah bagi membunuh mangsa yang sama, pada tarikh, lokasi dan masa yang sama.