TAWAU: Sekumpulan lapan pemancing, termasuk seorang warga Thailand berusia di antara 31 hingga 53 tahun yang dilaporkan hilang di perairan Inderasabah pada Ahad lepas, akhirnya ditemui selamat selepas 34 jam gagal dihubungi ahli keluarga.
Pemancing warga tempatan itu - Hasbin Mahmud selaku juragan bot, Mapiase Palilu, Sabaruddin Sahuna, Mohd Fadlizan Japar, Abdul Razak Abd Rahman, Darwis Andi Permata, Kong Fun Voo @ Mohd Yusof dan Luesanti Narksanga, seorang warga Thailand ditemui di lokasi 7.6 batu nautika barat laut Pulau Sipadan, Semporna sekitar jam 5.35 petang pada Isnin.
Mereka sebelum itu dikatakan keluar memancing pada jam 7.19 pagi pada Ahad dari Jeti Inderasabah ke kawasan sekitar 22 batu nautika selatan muara Inderasabah iaitu kawasan sempadan perairan Malaysia - Indonesia dan sepatutnya dijangka kembali hari yang sama.