TAWAU: Sekumpulan lapan pemancing, termasuk seorang warga Thailand berusia antara 31 hingga 53 tahun yang dilaporkan hilang di perairan Inderasabah pada Ahad lepas, ditemui selamat selepas 34 jam gagal dihubungi ahli keluarga.
Pemancing warga tempatan – Hasbin Mahmud selaku juragan bot, Mapiase Palilu, Sabaruddin Sahuna, Mohd Fadlizan Japar, Abdul Razak Abd Rahman, Darwis Andi Permata, dan Kong Fun Voo @ Mohd Yusof, serta warga Thailand, Luesanti Narksanga, ditemui di lokasi 7.6 batu nautika barat laut Pulau Sipadan, Semporna sekitar jam 5.35 petang Isnin.
Mereka sebelum itu dikatakan keluar memancing pada jam 7.19 pagi Ahad dari Jeti Inderasabah ke kawasan sekitar 22 batu nautika di selatan muara Inderasabah, iaitu kawasan sempadan perairan Malaysia-Indonesia dan sepatutnya kembali pada hari yang sama.
Timbalan Pengarah Zon (Operasi) Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Amiludin Yenggah berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut pada jam 8.35 pagi Isnin.
“Makluman disampaikan kepada Maritime Rescue Sub Center (MRSC) dan seterusnya bertindak mengaktifkan Operasi Carilamat pada jam 10.15 pagi bagi mengesan bot dan kesemua pemancing yang gagal dihubungi,” katanya.
Menurutnya, aset bot peronda maritim yang berada di sektor operasi diatur gerak ke lokasi kejadian bagi mendapatkan maklumat dan mengesan kedudukan sebenar bot yang dilaporkan hilang.
Katanya, Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) dibuka di Pos Maritim Inderasabah bagi mengumpul maklumat berkaitan mangsa dan turut memaklumkan kejadian kepada agensi keselamatan Indonesia.
Amiludin berkata, empat aset diatur gerak pada hari pertama Ops Carilamat membabitkan 50 anggota dengan keluasan kawasan pencarian sehingga 10 batu nautika persegi.
Menurutnya, pasukan penyelamat kemudiannya menerima makluman panggilan daripada salah seorang mangsa, yang memerlukan bantuan berikutan bot mereka mengalami kerosakan enjin dan dihanyutkan sehingga terputus hubungan.
“Mangsa yang berada di bot tersebut turut memaklumkan lokasi bot, seterusnya diselamatkan oleh aset carilamat dan dibawa ke Pos Maritim Inderasabah,” katanya, menambah kesemua mangsa dalam keadaan selamat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga masing-masing.
Ops Carilamat yang dikendalikan MRSC Kota Kinabalu turut disertai oleh polis, Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta komuniti setempat.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan komuniti maritim agar sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca buruk semasa menjalankan aktiviti di laut.
“Penggunaan jaket keselamatan juga sangat penting bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini,” katanya.