BELURAN: Kadar penglibatan pelajar dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), khasnya sains tulen, semakin menurun.
Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Samad Jambri berkata, berdasarkan kajian agensi berkenaan, hanya 27 peratus pelajar melanjutkan pengajian dalam sains tulen.
“Ini juga jauh dari sasaran iaitu 60 peratus pelajar melanjutkan pengajian dalam bidang STEM.
“Justeru, usaha perlu terus dipertingkat dan diperkasa agar sasaran itu mencapai matlamat yang diharapkan, “ tambahnya.
Beliau yang juga Adun Labuk berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Progam STEM Fiesta : Eksplorasi Stem PPD Beluran Peringkat Negeri Sabah di Dewan SK Beluran, di sini, Isnin.
Ia dianjurkan bersama Kementerian Sains Teknologi Dan Inovasi (KSTI) Sabah, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Pejabat Pendidikan Daerah Beluran.
Hadir sama, Penolong Pengarah Unit Sains dan Matematik, Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Emila Rohaza Abdul Aziz, serta Pegawai Pendidikan Daerah Beluran, Sh Mahada Sh Attar.
Pada majlis itu, Samad turut menyampaikan beberapa hadiah kepada pelajar sekolah yang memenangi acara dipertandingkan pada program itu, selain lawatan pelbagai reruai yang dibuka untuk pengunjung.
Sementara itu, Samad turut memuji usaha KSTI dan Jabatan Pendidikan Negeri serta Pejabat Daerah Beluran dan semua yang menjayakan program STEM di Beluran.
“Ini sekali gus memberi pendedahan langsung kepada pelajar berkenaan STEM,” katanya pada sidang media sejurus itu.
“Kita juga bersedia membantu apa juga usaha mempertingkat bidang STEM di daerah ini dan luar bandar,” tambahnya.
Sementara itu, Mahada berkata, pihaknya sentiasa komited memastikan murid dan pelajar sekolah mendapat pendedahan mengenai STEM di daerah ini.