Kota Kinabalu: Siasatan akan dijalankan terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang dipercayai mengaut keuntungan daripada penjualan air di kawasan yang menghadapi masalah bekalan.
Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, beliau menerima banyak laporan mengenai syarikat atau pengusaha pengangkutan yang mengaut keuntungan berlebihan, mengenakan caj hampir 10 kali ganda daripada kadar biasa untuk bekalan air di kawasan tersebut.
Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya perlu mendapatkan maklumat terperinci daripada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) berhubung isu penjualan bekalan air itu.
“Saya sedang mendapatkan maklumat lengkap daripada JANS berkenaan senario lori air yang membekalkan kepada individu atau pihak peniaga dan saya difahamkan caj yang agak tinggi dikenakan oleh lori-lori air ini. Mereka tidak patut mengenakan caj yang begitu tinggi,” katanya di sini, pada Rabu.

“Mereka beli air di Gaya Park untuk kegunaan mereka ataupun contohnya untuk kegunaan tapak pembinaan atau premis kerajaan.
“Tetapi maklum balas yang sedang kita terima ialah sebilangan daripada mereka dikatakan menggunakannya untuk mendapatkan keuntungan.
Saya juga mendapat makluman tetapi bukan secara rasmi bahawa ada caj dikenakan antara RM14 hingga RM28 setiap meter padu, sedangkan jumlah yang mereka beli di Gaya Park adalah RM3 setiap meter padu.
“Jadi ini adalah satu perkara yang memeranjatkan dan kita tengah mendapatkan laporan serta melihat bagaimana ia boleh dikawal,” katanya kepada pemberita ketika ditanya isu JANS yang dikatakan akan menghentikan penjualan air kepada lori-lori tangki.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Tapak Projek Cadangan Menaiktaraf dan Membaik Pulih Mini Stadium Majlis Daerah Putatan di pekarangan Majlis Daerah Putatan, di sini pada Rabu.
Shahelmey, yang juga Menteri Kerja Raya, berkata Jabatan Air kini sedang mengurangkan atau menghentikan jualan air kepada syarikat-syarikat ini.
“Kita cuba kurangkan sebab penjualan itu dibenarkan untuk tujuan kecemasan dan kegunaan di kawasan yang tiada bekalan air terawat.
“Tetapi nampaknya ada yang tidak dapat dikawal, jadi akan disiasat dan akan hentikan isu ini. Bagi saya masa untuk dapatkan fakta sebenar untuk diambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai masalah bekalan air yang melanda beberapa daerah termasuk Papar dan Sandakan, beliau meminta rakyat segera menyalurkan aduan terus kepadanya.
Ditanya mengenai perkembangan peruntukan RM300 juta yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan, Shahelmey sekali lagi menjelaskan bahawa agihan peruntukan belum diterima setakat ini.
“Ia belum diterima lagi, tetapi kita akan desak untuk agihan peruntukan ini. Kita akan bincang perkara ini dan bagaimana untuk dilaksanakan sebab kita tidak boleh ambil pendekatan tunggu dan lihat.
“Tindakan perlu diambil untuk menyelesaikan masalah gangguan air terutama di kawasan pantai timur Sabah,” tegasnya.
Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Putatan merangkap Adun Tanjung Keramat itu berkata beliau belum menerima sebarang surat rasmi mengenai penggantungannya sebagai ahli Umno.
Bagaimanapun, beliau tetap berpegang kepada makluman daripada Ketua Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin bahawa beliau telah digantung keahlian Umno selama enam tahun.
Pada 18 Mac lalu, Bung Moktar mengumumkan keahlian Shahelmey dalam Umno digantung selama enam tahun.
Keputusan itu dibuat susulan tindakan Shahelmey menandatangani akuan bersumpah (SD) yang menyokong Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah semasa berlaku kemelut politik pada Januari lalu.
Selain Shahelmey, empat Adun lain yang menyuarakan pendirian sama termasuk Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin).
Bagaimanapun, pada 21 Februari lalu, James, Jasnih, Mohd Arsad dan Yusof bersama seorang lagi Adun Umno, Datuk Hamild@Hamid Awang (Balung) mengumumkan keluar daripada Umno bagi menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).