Kota Kinabalu: Mahkamah Sesyen menetapkan 23 Ogos ini untuk e-Review bagi menetapkan tarikh keputusan kes seorang lelaki berusia 57 tahun yang didakwa melakukan amang seksual terhadap anak perempuan tirinya.
Hakim Azreena Aziz menetapkan tarikh tersebut bagi lelaki itu apabila pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil empat saksi.
Mahkamah juga menetapkan pada atau sebelum 21 Ogos untuk kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis dan jawapan.
Sekiranya lelaki itu diperintah untuk membela diri, mahkamah menetapkan 17 Okt untuk pembelaannya.
Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan itu terhadap remaja berusia 13 tahun empat bulan itu dengan menyentuh bahagian tubuhnya. Kesalahan itu didakwa berlaku pada 2.30 petang 1 Nov 2021 di sebuah rumah di Kepayan, di sini.
Kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Disebabkan hubungan antara tertuduh dan mangsa, terdapat hukuman tambahan di bawah Seksyen 16(1) Akta sama, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, dan sekurang-kurangnya dua sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Afiqah Alya mengendalikan pendakwaan manakala peguam Chen Wen Jye mewakili lelaki itu.