Kota Kinabalu: Dua lelaki dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, Jumaat, daripada pertuduhan mengedar 64.11 gram syabu, dua tahun lalu.
Abdul Razak Awg Said, 55, dan Rahim Omar Mohd Nasirin, 46, yang bekerja sendiri, dilepaskan dan dibebaskan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Amelati Parnell tanpa meminta mereka membela diri.
Amelati memutuskan mahkamah mendapati bahawa kes prima facie belum dibuktikan terhadap dua tertuduh dan mereka berdua dilepaskan dan dibebaskan tanpa memanggil pembelaan mereka.
Razak dan Rahim didakwa melakukan kesalahan itu pada 11.30 pagi, 8 Julai 2021 di bilik stor di belakang sebuah rumah di Kg Pasir di Sipitang.
Pertuduhan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya itu membawa hukuman sama ada hukuman mati atau penjara seumur hidup, dan sekurang-kurangnya 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan telah memanggil enam saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan di peringkat pendakwaan.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Rustam Sanip menggantikan DPP Adibah Saiful Bahri, sementara peguam Mohd Luqman Syazwan Zabidi menggantikan Hamid Ismail, yang mewakili kedua-dua tertuduh.
Sementara itu, seorang pemandu kereta e-hailing, yang didakwa mengangkut dua migran Filipina yang diseludup tahun lalu, gagal dalam permohonannya untuk ikat jamin.
Amelati dalam menyampaikan keputusannya pada Jumaat, menolak permohonan ikat jamin Royhan Abd Mutalif.
“Hujahan tertuduh bahawa dia sebagai seorang lelaki sama layak seperti seorang wanita untuk dipertimbangkan di bawah Seksyen 13(2) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) 2012, ditolak.
“Tertuduh, seorang lelaki berumur lebih 18 tahun dan tidak menghidap sebarang penyakit atau kelemahan, dengan itu tidak termasuk dalam mana-mana kategori yang dibenarkan dalam Seksyen 13 (2) Sosma,” kata Amelati.
Mahkamah kemudian menetapkan 11 Okt untuk pengurusan kes pra-perbicaraan dan memerintahkan Royhan ditahan reman lanjut.
Royhan, 34, pada 25 Julai meminta dibicarakan atas pertuduhan melibatkan diri dalam pengangkutan migran seludup dengan sebuah Mitsubishi Triton pada 7 malam 18 Nov 2022 di Kg Ambong, Kota Belud.
Pertuduhan mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 itu boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan boleh didenda sehingga RM250,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Royhan diwakili peguam Nazri Zikiri.