Peruntukan RM40 juta bagi menaik taraf infrastruktur dan kuarters untuk kakitangan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di Lahad Datu yang disediakan kerajaan menunjukkan komitmennya untuk memastikan kebajikan kakitangan agensi itu sentiasa terpelihara.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata peruntukan itu juga mencerminkan keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap kebajikan warga Esscom yang sanggup berkorban demi menjamin keselamatan Sabah dan negara.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri atas keprihatinannya dan semoga inisiatif ini dapat meningkatkan semangat warga Esscom untuk melakukan yang terbaik dalam mempertahankan kedaulatan negara,” kata Hajiji, yang juga Pengerusi Zon Keselamatan Timur Sabah (Esszone), dalam satu kenyataan.
Pada 15 Julai lalu, Anwar ketika berucap pada program Malaysia Madani bersama Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis Diraja Malaysia di Batalion 2 GOF Kulim di Kulim, Kedah, mengumumkan peruntukan RM40 juta untuk infrastruktur dan kemudahan berkaitan Esscom.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Esscom Dr Jamaluddin Mohd Ali berkata peruntukan itu akan digunakan untuk menyediakan kakitangan agensi itu dengan kemudahan perumahan terbaik, yang akan memberi manfaat besar kepada mereka.
Beliau berkata peruntukan itu juga membolehkan Esscom memperoleh rumah untuk anggotanya yang bertugas di Lahad Datu.
“Ia untuk kemudahan pegawai, anggota serta kakitangan Esscom dan proses bagi mendapatkan kemudahan (rumah) itu sedang berjalan,” katanya.
Komander Esscom DCP Victor Sanjos melahirkan rasa terima kasih di atas keprihatinan dan penghargaan Kerajaan Perpaduan di atas sumbangan dan pengorbanan mereka yang menjaga keselamatan dan kedaulatan negara khususnya di Sabah.
“Bagi pihak Esscom dan sebagai Komander Esscom, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Perpaduan di atas keprihatinan dan kebaikannya terhadap ahli Esscom dengan menyediakan peruntukan ini,” katanya.