PENAMPANG: Seorang pemandu trak pikap maut selepas merempuh penghadang di Kampung Dambai - Jambatan Proper, Jalan Papar Lama, di sini, awal pagi Sabtu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Sammy Newton, mangsa kejadian jam 5 pagi itu adalah seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang bertugas dan mayat dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth 1 untuk bedah siasat.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca apabila pemandu yang datang dari arah Donggongon hilang kawalan dan merempuh penghadang jambatan.
“Saksi kejadian digesa tampil memberikan maklumat di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.