Kota Kinabalu: Persembahan khas bertajuk ‘Pandemik’, bagi menghargai jasa wira negara ketika mempertahankan negara semasa berdepan Covid-19, antara acara menarik sempena Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah, di Padang Merdeka, di sini, pada Isnin.
Sambutan di Padang Merdeka itu dihadiri Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahirudin dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Hadir sama, Timbalan-Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Ir Shahelmey Yahya, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Kadzim M Yahya, Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Jahid Jahid, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib, Timbalan-Timbalan Speaker DUN, Datuk Richard Yong We Kong dan Datuk Al Hambra Tun Juhar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr Safar Untong.
SKETSA ‘Pandemik’.
‘Pandemik’ yang memukau perhatian lebih 2,000 penonton yang hadir merangkumi empat segmen yang menarik, termasuk The Outbreak iaitu bermulanya penularan penyakit Covid-19 sehingga menyebabkan kematian, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Unsung Hero terdiri daripada pelbagai agensi kesihatan dan keselamatan serta orang awam, dan fasa Endemik di mana kerajaan telah menemui jalan penyelesaian memberikan suntikan vaksin untuk mencegah penularan Covid-19.
Pelbagai agensi keselamatan, Jabatan Kesihatan dan orang awam yang memainkan peranan masing-masing dalam menjayakan persembahan khas Hari Pahlawan tersebut.
Terdahulu, ketibaan Juhar kira-kira 8 pagi itu disambut Hajiji, sebelum memeriksa Kawalan Kehormatan Utama selain menerima tabik hormat dan tabik hormat Pasukan Kawalan Kehormatan Utama di pentas utama.
Sebanyak 15 Kontinjen menyertai perbarisan itu antaranya Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia, dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Antara pengisian sambutan itu ialah acara menaikkan Jalur Gemilang dan Bendera Sabah serta nyanyian Negaraku dan Sabah Tanah Airku, tiupan paluan akhir “The Last Post” oleh Polis Diraja Malaysia, persembahan khas Angkatan Tentera Malaysia dan tiupan “Rouse”.
Hajiji turut mengiringi Juhar melawat pameran pasukan keselamatan, Jabatan Kesihatan, Jabatan Muzium dan Arkib Negeri. Majlis diakhiri dengan keberangkatan balik Tun Juhar kira-kira jam 9.40 pagi.