Kota Kinabalu: Paparian Hornet merangkul kejuaraan Liga Hoki Kota Kinabalu selepas membelasah SSMS (Sekolah Sukan Malaysia Sabah) 6-2 pada perlawanan akhir di Stadium Hoki Likas pada Sabtu lalu.
Granson Hoel menjaringkan hatrik untuk pasukan yang menang dengan dua lagi gol dijaringkan oleh Muhd Saifudin dan satu oleh Awangku Iskandar Sarizan, manakala gol SSMS dijaringkan oleh Mohd Azfar dan Mohd Fadli.
Perlawanan separuh akhir yang diadakan sebelum itu menyaksikan Paparian Hornet menewaskan Weston United 4-0 manakala SSMS turut menewaskan Paparian Eagle dengan jaringan yang sama.
Dalam perlawanan penentuan tempat ketiga, Paparian Eagle menewaskan Weston United 1-0 dengan gol kemenangan dijaringkan Mohd Faiz Aizat.
Sementara itu, anugerah penjaring terbanyak dimenangi Gerson Raja Buayo dari SSMS dan Granson Noel Goden dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan akhir.
Liga yang bermula 5 Julai lalu itu disertai 10 pasukan yang dibahagikan kepada dua kumpulan.
Weston United mengungguli kumpulan A pada penghujung pusingan dengan Paparian Eagle di tempat kedua manakala SSMS menduduki tempat teratas dalam kumpulan B diikuti oleh Paparian Hornet.
Majlis penutupan disempurnakan oleh Pengarah Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR), Azrul Ibrahim.