Kota Kinabalu: Seorang warga Filipina menganggur dipenjara empat tahun lapan bulan pada Isnin atas dua pertuduhan memberi maklumat palsu semasa membuat permohonan gantian kad pengenalan yang hilang dan memiliki kad pengenalan palsu sebagai dokumen pengenalan diri.
Rosli Fattah (gambar), 36, yang dibawa ke hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie, menukar pengakuannya kepada bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan pada Isnin, hari yang ditetapkan untuk perbicaraan.
Rosli dipenjara dua tahun empat bulan bagi pertuduhan pertama kerana memberikan maklumat palsu ketika membuat permohonan gantian kad pengenalan hilang yang mempunyai nombor siri 810207-12-5893 atas nama Rosli Apral pada 11.56 pagi 12 April lalu, tahun ini di Bahagian Kad Pengenalan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kota Kinabalu.
Dia dijatuhkan hukuman penjara dua tahun empat bulan lagi atas pertuduhan kedua memiliki kad pengenalan palsu yang mengandungi nombor siri yang sama di bawah nama Rosli Apral pada 1.30 tengah hari pada hari yang sama di Jabatan yang sama.
Mahkamah memerintahkan Rosli menjalani hukuman itu serentak dari tarikh tangkap dan dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas itu.
Terdahulu, mahkamah dimaklumkan oleh pihak pendakwaan bahawa seorang pegawai memaklumkan terdapat seorang lelaki, yang kemudiannya dikenal pasti sebagai Rosli Fattah, telah mengemukakan permohonan gantian kad pengenalan hilang yang dicurigai.
Semakan pada borang permohonan dengan nombor siri di bawah nama Rosli Apral mendapati Rosli Fattah adalah pemohon.
Semakan perbandingan cap jari Rosli Fattah didapati tidak sepadan dengan rekod kad pengenalan di bawah nama Rosli Apral dan semakan pada kedua-dua cap ibu jari Rosli Fattah juga didapati tidak merujuk kepada mana-mana rekod Jabatan.
Semakan lanjut oleh Bahagian Kad Pengenalan mendapati nombor siri 810207-12-5893 tidak wujud dalam sistem JPN.
Pihak pendakwaan berkata Rosli Fattah didapati hanya memiliki resit pengenalan sementara bernombor 006490-UP.JKM 18897 di bawah nama sebenarnya Rosli Fattah yang dikeluarkan oleh Jabatan Ketua Menteri Sabah sebagai dokumen pengenalan diri sebenar.
Rosli, yang tidak diwakili peguam, memohon hukuman berjalan serentak dan memberitahu mahkamah dia mempunyai anak yang sedang belajar di Kuala Lumpur.
Pihak pendakwaan memohon hukuman berbentuk pencegahan.
Pertuduhan pertama didakwa mengikut Seksyen 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) manakala pertuduhan kedua mengikut Seksyen 25(1)e) Peraturan yang sama, masing-masing membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM20,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis dan pegawai pendakwa JPN Mohd Naser Mohd Nadzeri melakukan pendakwaan.