Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mahu Jabatan Pendidikan Negeri mengenal pasti punca dan kenapa ramai calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 di Sabah tidak hadir menduduki peperiksaan itu tahun lalu.
Katanya, berdasarkan laporan, hanya 34,461 pelajar daripada 40,147 yang mendaftar di Sabah menduduki peperiksaan tersebut.
Menurutnya, laporan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek baru-baru ini bahawa seramai 10,000 daripada hampir 30,000 calon yang tidak menduduki peperiksaan SPM 2022 mendaftar untuk ulangan peperiksaan itu tahun ini.
“Saya memberi perhatian serius kepada isu ini di Sabah, kerana SPM adalah peperiksaan penting untuk masa depan anak-anak kita atau sebelum mereka melanjutkan pelajaran ke mana-mana institusi pengajian tinggi. Selain itu, pendidikan adalah hak untuk semua.
“Justeru, berapa pun jumlah pelajar yang tidak menduduki SPM 2022 di negeri ini, ramai atau tidak, saya mahu Jabatan Pendidikan Negeri mengenal pasti kenapa mereka tidak hadir dan apa alasan mereka.
“Saya mahu pelajar-pelajar ini mengambil peluang untuk berbuat demikian pada tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (ABCNS) Siri ke-34 di Auditorium Tun Ahmad Raffae, Menara Tun Mustapha, pada Selasa.
Seramai 40 pelajar terpilih menerima ABCNS.
Turut hadir di majlis itu ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong, Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Gulamhaidar Khan Bahadar dan Pengerusi Eksekutif ICSB, Datuk Jasnih Daya.
Hajiji berkata, walaupun terdapat peningkatan 0.13 peratus dalam Gred Purata Nasional (GPN) keputusan SPM 2022 bagi Sabah, iaitu daripada 5.35 mata pada 2021 kepada 5.22 mata pada tahun lepas, ia masih jauh berbanding GPN kebangsaan sebanyak 4.74.
Pada masa yang sama, katanya, jurang antara kawasan bandar dan luar bandar di negeri ini juga melebar daripada 0.53 mata pada 2021, kepada 0.61 mata pada 2022.
“Kerajaan Negeri mengambil berat mengenai isu ini dan ia harus diteliti secara terperinci bagi mengenal pasti punca kelemahan-kelemahan yang wujud,” tegasnya.
Sementara itu, Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah (YS) berkata, sejumlah RM668 juta telah dibelanjakan oleh Kumpulan YS, sebuah badan berkanun Kerajaan Negeri dalam pemberian biasiswa, dermasiswa dan pinjaman pengajian tinggi yang memberi manfaat kepada seramai 41,221 orang pelajar Sabah.
Katanya, semua itu dilakukan demi memberikan bantuan kewangan kepada pelajar yang memerlukan untuk memastikan mereka dapat mengakses pendidikan berkualiti.
Menyentuh ABCNS, beliau berkata sehingga kini, seramai 715 orang pelajar telah mendapat manfaat daripada program itu yang telah menelan perbelanjaan sebanyak RM124.4 juta.
Menurutnya, penerima ABCNS merupakan aset masa depan dan mempunyai peranan penting dalam memacu pembangunan negeri ini.
Sebagai pemimpin masa depan mereka harus mempunyai keupayaan untuk mengaplikasikan kemahiran yang diperoleh untuk memenuhi permintaan pasaran selaras dengan ekonomi berasaskan pengetahuan dan kemajuan teknologi.
“Dalam era Revolusi Industri 4.0 yang sedang kita alami ini, kemahiran teknikal yang tinggi diperlukan untuk memenuhi keperluan industri agar dapat menyesuaikan diri dengan perubahan zaman.
“Saya mahu penerima ABCNS menggunakan peluang yang diberikan ini dengan sebaik mungkin dan sentiasa memiliki sifat ingin tahu, serta berani berfikiran luas untuk meneroka aplikasi seperti kecerdasan buatan, realiti maya dan gamifikasi, sebagai langkah ke arah mewujudkan masyarakat yang celik teknologi tanpa menjejaskan kemampuan berfikiran secara kreatif,” tambahnya.