Tuaran: Seorang wanita nyaris maut selepas kereta dipandunya terbabas dan terjunam 60 meter ke dalam gaung berhampiran simpang jalan Kampung Kiwoi di Kampung Bawang, Tamparuli di sini, Selasa.
Dalam kejadian jam 9.25 pagi itu, mangsa dikenali Juliana Guntok, 42, yang memandu kereta jenis Perodua Kancil itu dilaporkan selamat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 9.27 pagi.
Katanya, seramai 10 anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian dengan sebuah jentera dan sebuah kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati mangsa terperangkap dalam kenderaan dan dikeluarkan menggunakan peralatan khas.
“Mangsa yang cedera di beberapa anggota badan diberi rawatan awal oleh pasukan bomba sebelum dihantar ke Hospital Tuaran menggunakan ambulans,” katanya.
Menurut Abdul Qawie, operasi ditamatkan pada 2.35 petang selepas pihak bomba memastikan tiada bahaya lain.