Kota Kinabalu: Seorang lelaki rakyat Filipina yang memulakan perbualan mengenai hubungan seks dengan seorang gadis tempatan bawah umur dan kemudian melakukan hubungan seks dengannya sehingga melahirkan bayi lelaki akibat rogol itu, berakhir dimasukkan dalam penjara selama lapan tahun dan diperintah dikenakan sekali sebatan rotan.
Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman itu terhadap Arban Abu yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan ke atasnya, Rabu.
Arban merogol perempuan berusia 15 tahun dan lima bulan itu di sebuah rumah di Papar pada Februari 2022.
Kesalahan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan Arban menjalani hukuman penjara itu dari tarikh dia ditangkap.
Semasa mitigasi, Arban yang tidak diwakili merayu hukuman ringan dengan mengatakan dia dan gadis itu melakukan hubungan seks dengan persetujuan daripada gadis itu.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Dacia Jane Romanus menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman penjara atas alasan mangsa di bawah umur dan melahirkan bayi akibat rogol itu.
Mahkamah diberitahu Arban menyewa sebuah bilik di rumah mangsa dan kejadian berlaku ketika mereka berbual tentang seks ketika mereka bersendirian di rumah itu.
Siasatan mendapati, Arban meminta mangsa untuk melakukan hubungan seks dengannya dan dia bersetuju mengenainya.
Pada awal Mac 2022, mangsa menyedari dia tidak mengalami haid dan kemudiannya menggunakan ujian kehamilan.
Dia mendapat tahu bahawa dia hamil dan memaklumkan perkara itu kepada Arban.
Kedua-dua mangsa dan Arban kemudian mendedahkan perkara kehamilan itu kepada bapa mangsa dan memberitahunya bahawa mereka pernah melakukan hubungan seks.
Bapa perempuan itu kemudiannya membuat laporan polis terhadap Arban yang kemudiannya ditahan.
Mangsa dirujuk ke Hospital Likas dan disahkan hamil lima minggu lima hari.
Pada November 2022, mangsa telah melahirkan bayi lelaki itu dan laporan DNA telah mengesahkan bahawa Arban adalah bapa kandung bayi itu.
Arban juga menjalani hukuman penjara selama empat bulan kerana memasuki negeri ini secara haram.