PETALING JAYA: Kebakaran dalam saluran sampah menjadi punca asap tebal menyelubungi ruangan balai pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail, berkata sepasukan anggota bomba dengan dua jentera dari Balai Bomba KLIA dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima laporan pada 8.30 pagi.
“Pemeriksaan mendapati asap tebal di ruangan balai pelepasan berpunca daripada kebakaran di dalam saluran sampah di tingkat tiga bangunan itu.
“Bomba kemudian bertindak memadamkan kebakaran itu dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 9.10 pagi,” katanya menurut Sinar Harian.
Katanya, operasi itu ditamatkan pada 10.31 pagi dan setakat ini punca kebakaran masih dalam siasatan.
“Pemeriksaan juga mendapati kebakaran tidak melibatkan struktur bangunan dan mangsa,” katanya.