KERAJAAN Negeri kini dalam proses mewujudkan semula Lembaga Padi Sabah (LPS) bagi meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) beras Sabah kepada 60 peratus menjelang 2030.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata langkah itu juga bertujuan mengurangkan kebergantungan negeri kepada beras import.
“Ketika ini, SSL beras Sabah berada pada paras 22 peratus manakala 78 peratus keperluan beras di negeri ini ditampung melalui beras import dari negara seperti China, Vietnam, Thailand dan Pakistan.
“Kita berharap dengan pewujudan semula Lembaga Padi Sabah, kita akan dapat meningkatkan tahap SSL beras negeri sekali gus dapat mengurangkan beras import,” katanya ketika merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sabah 2023 di Wisma Pertanian, di Kota Kinabalu pada 27 Julai.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri I yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas Kabinet, diketuai oleh MAFFI, bagi menangani isu SSL di negeri ini.
Katanya masalah yang dikenal pasti oleh jawatankuasa khas itu adalah keluasan sawah semakin kurang kerana digunakan sebagai kawasan pembangunan perumahan dan komersial.
“Untuk menangani isu ini, kerajaan telah meneroka kawasan penanaman padi baharu di Trusan Sapi, Daerah Beluran seluas kira-kira 2,000 ekar (809.37 hektar),” katanya.
Beliau berkata kawasan penanaman padi baharu itu dimajukan secara bersepadu oleh MAFFI dan agensinya – Korporasi Pembangunan Desa (KPD), Jabatan Pertanian – bersama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran dengan penglibatan pihak sektor swasta serta penduduk.
Beliau turut menyeru petani, penternak dan nelayan supaya lebih peka dan bersedia menerima serta melakukan perubahan dalam bidang pertanian termasuk pengurusan ladang moden.
Bagi subsektor tanaman, Hajiji berkata, sebanyak RM115.39 juta diperuntukkan kepada Jabatan Pertanian untuk meningkatkan pengeluaran pelbagai hasil tanaman, bagi menjana pendapatan golongan petani daripada RM2,000 kepada RM4,000 sebulan.
“Usaha kerajaan untuk membantu golongan sasar B40 dan miskin tegar akan diteruskan menerusi Korporasi Pembangunan Desa (KPD) dengan peruntukan berjumlah RM20.28 juta.
“Seramai 2,015 peserta akan menerima manfaat daripada pelaksanaan pelbagai program ternakan dan tanaman,” katanya.
Beliau berkata sejumlah RM46.09 juta diperuntukkan kepada Jabatan Perikanan pada tahun ini, bagi meneruskan pelbagai program jaminan pengeluaran hasil perikanan mampan untuk menampung pasaran dalam negara dan antarabangsa.
Sementara itu, Jeffrey berkata tindakan beberapa negara pengeluar di Asia seperti India, yang mengharamkan eksport beras, tidak mungkin menyebabkan harga beras di Sabah meningkat.
“Ini tidak semestinya berlaku kerana kuantiti import kita masih sama dan stok simpanan kita masih tinggi. Kita juga bekerjasama dengan Padiberas Nasional Bhd (Bernas).
“India, Pakistan, Vietnam dan Thailand adalah antara sumber kita (untuk import beras), tetapi memandangkan India telah mengharamkan eksport berasnya, kita akan mencari sumber lain, kerana mengimport beras masih lebih murah daripada mengeluarkan beras kita sendiri.
“Kita hanya mahu mengurangkan pergantungan terhadap import, sebab itu Kerajaan Negeri mencari jalan untuk meningkatkan SSL beras Sabah kerana ia terlalu rendah,” katanya pada sidang media.