PAPAR: Terdapat kekurangan jentera untuk membajak dan menuai di 24,013 hektar sawah padi di Sabah.
Timbalan Ketua Menteri 1 merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Jeffrey G. Kitingan berkata masalah itu menyumbang kepada pengurangan jumlah keluasan tanah dalam penanaman padi.
Beliau berkata Sabah memerlukan kira-kira 480 jentera membajak dan 240 jentera penuai untuk mengusahakan 24,013 hektar sawah. Bagaimanapun, beliau berkata hanya 211 mesin pembajak dan 143 jentera penuaian beroperasi secara aktif di negeri ini.
“Pembangunan tanaman padi Sabah merupakan antara fokus utama dalam hala tuju Rancangan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) dan Dasar Pertanian Negeri Sabah Ketiga.
“Bagaimanapun, isu kekurangan jentera padi sering dibangkitkan sebagai antara faktor yang menghalang Kerajaan Negeri untuk meningkatkan pengeluaran beras di Sabah.
“Malah, kekurangan itu juga menyebabkan jentera padi beroperasi di bawah tahap optimum,” katanya.
Dr Jeffrey berkata demikian ketika berucap merasmikan penyerahan jentera padi di bawah Program Pinjaman Jentera/Peralatan Pertanian Terpilih Jabatan Pertanian Sabah 2023, di Kg Limbahau, di sini, Rabu lepas. Ucapan beliau disampaikan oleh Setiausaha Tetap kementeriannya Robert Stidi.
Robert yang mewakili Dr Jeffrey turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pengarah Jabatan Pertanian Sabah Jifrin Mohamad dengan dua penyedia perkhidmatan jentera padi pada majlis itu.
Turut hadir Adun Limbahau Datuk Juil Nuatim, Pegawai Daerah Papar Mohd Fuad Abdullah dan 90 penanam padi mewakili 59 blok sawah di daerah ini.
Dr Jeffrey berkata kekurangan jentera padi juga menyebabkan kawasan sawah berkurangan dengan ketara.
“Sebagai contoh, daerah Papar seperti yang disebut oleh Pengarah Pertanian Sabah sebelum ini termasuk Keningau dan Kota Marudu, masing-masing menunjukkan penurunan keluasan sawah, tahun lalu, sekurang-kurangnya 30 peratus hingga 40 peratus.
“Kekurangan jentera membajak antara faktor utama penyumbang kepada pengurangan keluasan sawah padi di Papar.
“Selain itu, harapan kita untuk mencapai sasaran 60 peratus tahap sara diri (SSL) beras menjelang 2030 pastinya sukar dicapai,” katanya.
Bagi menangani masalah kekurangan jentera padi di Sabah, Dr Jeffrey berkata Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) melalui Jabatan Pertanian Sabah telah menerima sejumlah 13 mesin pembajak dan tujuh mesin penuai daripada kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pertanian dan Keselamatan Makanan (MAFS).
Dengan memiliki 13 traktor/jentera ini, beliau berkata keluasan sawah padi mampu meningkat sehingga 1,300 hektar setahun dan secara tidak langsung ia juga dapat menjamin peningkatan pendapatan pesawah.
Terdahulu Jifrin berkata Program Pinjaman Jentera / Traktor / Peralatan Pertanian Terpilih yang diadakan di sini adalah kesinambungan daripada Program Penjenteraan dan Automasi Agro-Makanan, di bawah Bahagian Pemodenan Pertanian Kementerian Pertanian dan Keselamatan Makanan Persekutuan.
Menerusi program itu, beliau berkata Jabatan Pertanian Sabah telah memperuntukkan sebanyak 13 mesin pembajak dan enam mesin penuai untuk menjalankan aktiviti membajak dan menuai di sawah padi di Sabah.
Jabatan telah mengenal pasti dan memilih tiga kawasan penanaman padi utama untuk menerima jentera itu manakala Papar mendapat tujuh mesin pembajak dan tiga mesin penuai.
Tambunan pula menerima enam mesin pembajak dan Keningau menerima satu mesin penuai,” kata Jifrin dalam ucapannya pada majlis itu.
Tanpa mendedahkan tambahan bilangan jentera untuk Sabah, beliau berkata jabatan itu terus memohon lebih banyak jentera padi daripada kerajaan di mana ia telah menerima pemberitahuan untuk dipertimbangkan.