Kota Kinabalu: Selain tandas yang sesak, pelancong antarabangsa yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) turut berdepan masalah pengangkutan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Christina Liew berkata beliau menerima laporan daripada pelancong yang tidak dapat menempah Grab (e-hailing) selepas mendarat.
“Tiada Grab pada tengah malam. Mereka cuba beratur untuk mendapatkan khidmat teksi lapangan terbang tetapi pemandu hanya menerima kupon. Mereka kemudian cuba membeli kupon tetapi penjual hanya menerima Ringgit.
“Saya akan mengadakan pertemuan dengan Malaysian Airports Sdn Bhd (MASB) tidak lama lagi untuk menyelesaikan perkara ini.
“Kita tidak sepatutnya menyusahkan pelancong kerana ini akan membuatkan mereka mempersoalkan (pengalaman mereka),” katanya.
Christina berkata mesyuarat yang dijadualkan dalam tempoh dua minggu itu juga akan membincangkan kaunter imigresen tambahan untuk menangani barisan panjang.
“MASB mempunyai peruntukan untuk berbuat demikian termasuk RM1.4 juta untuk tandas. Saya mengharapkan berita baik daripada projek pembesaran ini,” katanya.
Pertindihan lima penerbangan Korea yang “tidak dijangka” pada Rabu lepas mengakibatkan keadaan kucar-kacir membabitkan kira-kira 1,098 pelancong yang beratur untuk ke tandas.
Christina menegaskan bahawa beliau meramalkan masalah itu tetapi peruntukan RM8.4 juta tidak sampai tepat pada masanya.
Mengulas mengenai nasihat perjalanan oleh EU dan UK yang menyenaraikan kawasan di Pantai Timur Sabah sebagai berisiko berlaku kejadian penculikan, beliau memberi jaminan bahawa negeri ini selamat.
Beliau berkata pelancong dan juga duta dari negara-negara tersebut masih melawat Sabah.
“Yang terakhir yang saya temui ialah seorang duta Jerman yang secara peribadi pergi ke kawasan tertentu dan melihat sendiri keadaan di sana.
“Nasihat perjalanan adalah usaha bersepadu oleh sekumpulan negara, jadi kita hanya boleh menunggu.
“Kami melakukan yang terbaik untuk menjelaskan kepada mereka dan biarkan mereka melihat. Penculikan terakhir adalah 10 hingga 20 tahun lalu. Kita agak selamat tetapi semuanya terpulang kepada mereka untuk menilai dan memproses,” katanya.