Kota Kinabalu: Pasukan wanita Sabah FA yang bersaing dalam Kejohanan Liga Wanita Kebangsaan 2023 bermula esok (Ahad) menerima rangsangan pada Jumaat.
Mereka menerima tajaan jersi Maxumax dalam majlis simbolik daripada wakil jenama itu Mohd Akmal Mohd Yasin yang disampaikan kepada timbalan presiden Safa Datuk Awang Kadin Tang.
Awang berkata selepas majlis itu mereka amat berterima kasih atas tajaan tersebut.
“Pasukan Sabah FA mempunyai potensi besar untuk menjadi juara dalam kejohanan yang diadakan buat kali pertama tahun ini.
“Tajaan ini bukan sahaja membantu mengurangkan kos malah secara tidak langsung menyokong pembangunan bola sepak wanita di negeri ini.
“Kami berharap akan ada lebih banyak pihak yang tampil untuk menaja pasukan,” katanya.
Sementara itu, presiden Safa, Datuk Shahelmey Yahya berharap penyertaan pasukan itu dalam liga sulung itu akan menyerlahkan lagi bakat pemain bola sepak wanita Sabah.
Beliau juga berharap tajaan daripada Maxumax akan menaikkan semangat pemain menjelang pertandingan.