TAWAU: Seorang banduan dipenjara lapan tahun dan dikenakan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu kerana mencederakan seorang lelaki menggunakan pisau keris dalam pergaduhan di Semporna pada Januari lalu.
Damsal Aldam, 45, mengaku salah di hadapan Hakim Rosli Ahmad bahawa dia mendatangkan kecederaan parah terhadap Maulaha Jumdail dengan menggunakan sebilah keris di Kg Bangau-Bangau, Semporna pada 13 Januari.
Tertuduh yang sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan memiliki barangan curi, didakwa di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan tertuduh, yang tidak mempunyai dokumen pengenalan, untuk menjalani hukuman tersebut secara berasingan dan diarah rujuk ke Jabatan Imigresen selepas selesai hukuman untuk tujuan pengusiran.
Menurut fakta kes, tertuduh ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Semporna di sebuah rumah tidak bernombor di Kg Selamat Semporna sekitar jam 11 pagi 29 Januari, manakala senjata dirampas pada keesokannya (30 Januari).
Hasil siasatan mendapati, kejadian tersebut berlaku ketika mangsa cuba meleraikan pergaduhan yang dilihatnya semasa sedang berjalan kaki di lorong Vietnam, Kg Bangau-Bangau sekitar jam 5 petang.
Mangsa ditikam oleh tertuduh dengan menggunakan senjata tajam sehingga mangsa jatuh dan tidak sedarkan diri, manakala tertuduh bertindak melarikan diri. Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian perut sebelah kiri, bahu kiri, tangan kanan dan ibu jari tangan.
Dalam siasatan lanjut polis, tertuduh mengaku menikam mangsa dengan menggunakan sebilah pisau keris sepanjang 21cm.
Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd Suhaimi Suriana tampil mendakwa.