KETUA Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menggesa pengundi Sabah dalam pilihan raya enam negeri di semenanjung tidak lama lagi supaya memilih calon daripada Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berdiri di belakang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menyokong penuh Kerajaan Perpaduan,” kata Hajiji, yang juga Pengerusi GRS.
“Adalah penting pengundi Sabah memilih calon Kerajaan Perpaduan untuk mengekalkan dinamik politik negara demi masa depan yang lebih baik,” katanya selepas bertemu pengundi Sabah di Hotel Royal Chulan di Seremban, Negeri Sembilan, pada 28 Julai.
Hadir sama Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Seri Haji Aminuddin Harun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Armizan Mohd Ali dan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Phoong Jin Zhe.
“GRS mengisytiharkan sokongan penuhnya kepada Kerajaan Perpaduan kerana ia adalah platform terbaik untuk negara berbilang kaum seperti Malaysia untuk maju ke hadapan,” kata Hajiji.
Beliau juga menggesa orang ramai supaya menolak kata-kata perkauman dan ketaksuban agama yang digunakan oleh pembangkang dalam kempen mereka.
“Taktik sebegitu memudaratkan negara majmuk seperti kita dan tidak akan menjamin masa depan Malaysia.”
Beliau berkata kestabilan, antara faktor penting untuk negara maju, hanya boleh dicapai apabila rakyat bersatu padu dan tidak dibutakan oleh perkauman dan ketaksuban.
Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (GRS) berkata hak istimewa orang Melayu dilindungi di bawah Perlembagaan tetapi tidak bermakna kepentingan kaum lain diabaikan.
“Hak orang Melayu, Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, agama Islam sebagai agama rasmi dan keistimewaan raja-raja Melayu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan ia mesti dihormati.
“Namun, kita tidak boleh menafikan hak kaum lain di Malaysia.
“Kita di Sabah telah menjadi contoh perpaduan yang baik dalam kepelbagaian dan perpaduan kerana, walaupun terdapat perbezaan bangsa dan agama, kita telah wujud bersama dalam keharmonian sejak sekian lama tanpa mengira ideologi politik, yang juga digalakkan oleh Kerajaan Perpaduan di peringkat kebangsaan.
“Justeru, saya menyeru rakyat menyokong calon-calon Kerajaan Perpaduan pada pilihan raya negeri ini,” katanya.
Antara rombongan GRS pada majlis itu ialah Timbalan Pengerusi Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Naib Pengerusi Datuk Masiung Banah dan Ketua Penerangan Datuk Joniston Bangkuai.
Turut hadir Adun Kawang Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, Adun Pantai Dalit Datuk Jasnih Daya, Adun Tempasuk Arshad Bistari, Ahli Parlimen Tawau Lo Su Fui dan Senator Datuk Bobbey Suan.
Hajiji juga meluangkan masa untuk berjumpa dengan rakyat Sabah yang menetap di Negeri Sembilan.
Hajiji dan Perdana Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengiringi Anwar di pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu di Gombak, Selangor.
Kedua-dua pemimpin negeri itu membuat penampilan pertama mereka bersama-sama dengan pemimpin Persekutuan dalam menunjukkan sokongan kepada calon pakatan pemerintah di semenanjung.
Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 29 Julai sebagai hari penamaan calon dan 12 Ogos sebagai tarikh pengundian di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan serta PRK Kuala Terengganu, dengan pengundian awal pada 8 Ogos.