KETUA Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mahu Jabatan Pendidikan Sabah mengenal pasti punca ramai calon SPM tidak menduduki peperiksaan pada 2022.
Beliau berkata, berdasarkan laporan itu, hanya 34,461 daripada 40,147 pelajar di Sabah mendaftar tahun lalu.
Baru-baru ini, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kira-kira 10,000 daripada hampir 30,000 calon yang tidak menduduki SPM tahun lepas mendaftar untuk mengulanginya tahun ini.
“Saya memberi perhatian serius kepada isu ini di Sabah kerana SPM adalah peperiksaan penting yang menentukan masa depan anak-anak kita dan wajib untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
“Selain itu, pendidikan adalah hak untuk semua. Justeru itu, saya mahu Jabatan Pendidikan Negeri mengenal pasti punca mereka tidak mendaftar.
Saya mahu pelajar di Sabah yang tidak menduduki SPM 2022 mengambil peluang untuk berbuat demikian tahun ini,” katanya pada majlis Anugerah Biasiswa Kecemerlangan Negeri Sabah (ABCNS) ke-34 di Auditorium Tun Ahmad Raffae, Menara Tun Mustapha, Kota Kinabalu, pada 1 Ogos.
Hajiji berkata walaupun terdapat peningkatan 0.13 peratus dalam Gred Purata Nasional (GPN) Sabah bagi keputusan SPM 2022, ia masih jauh berbanding GPN kebangsaan iaitu 4.74.
Pada masa sama, katanya, jurang antara bandar dan luar bandar di negeri ini juga melebar daripada 0.53 mata pada 2021 kepada 0.61 mata pada 2022.