Kota Kinabalu: Seorang ahli perniagaan berusia 31 tahun pada Rabu dipenjara tujuh hari dan didenda RM4,000 atau penjara 12 bulan kerana menipu sebuah hotel di sini.
Wan Muhammad Syazwan Wan Jodan dari Kuching, Sarawak mengaku bersalah di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles kepada tuduhan menyerahkan resit perbankan dalam talian yang tidak sah, dengan niat menipu Promenade Hotel Sdn Bhd antara 11 Julai dan 27 Julai tahun ini, di hotel tersebut.
Pertuduhan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah dimaklumkan oleh pihak pendakwaan bahawa seorang tetamu hotel bernama Wan Muhammad Syazwan Wan Jodan telah menempah bilik di hotel itu dari 8 Julai hingga 28 Julai dan menurutnya, semua pembayaran akan dibuat secara dalam talian dan resit pembayaran akan diberikan kepada kakitangan hotel.
Pada 29 Julai, pihak hotel memeriksa bilik tersebut dan mendapati Syazwan telah keluar dari bilik hotel tanpa pengetahuan mereka.
Pihak hotel juga membuat semakan akaun bank hotel dan mendapati tiada bayaran dibuat oleh Syazwan seperti dalam resit bayaran yang diberikan olehnya.
Panggilan telefon telah dibuat tetapi Syazwan tidak dapat dihubungi, kata pihak pendakwaan.
Pihak hotel mendapati Syazwan telah menipu dengan memberikan resit bayaran palsu dan membuat laporan polis.
Peguam dilantik Carmen Khoo, yang mewakili Syazwan, dalam memohon hukuman ringan memaklumkan mahkamah bahawa tertuduh adalah pesalah pertama dan kesal dengan tindakannya itu.
Pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal.
Sementara itu, enam orang didakwa menyerang seorang lelaki.
Wan Nurhafizan Wan Suhaimy, 32, Wan Hijjaz Wan Suhaimy, 25, Amir Faiz Abu Bakar, 26, Md Naedry Khan Nattahkhan, 24, Najmi Mazlan dan Najiy Mazlan, kedua-duanya 22 tahun, mengaku tidak bersalah sengaja menyebabkan kecederaan kepada Muhd Farid Azizi pada pukul 12 tengah malam 22 Mei di luar sebuah kondominium di Penampang.
Mereka didakwa bersama mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Mahkamah menetapkan 4 Okt untuk pengurusan kes dan melepaskan setiap tertuduh dengan ikat jamin RM1,500 dan dua penjamin.
Pendakwaan dilakukan oleh Inspektor Kelvan Elson Maik.