Kota Kinabalu: Seorang penganggur warga Filipina didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengedar 5,035 gram syabu.
Anderli Tony, 25, didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 4.30 petang 2 Ogos lalu di tepi jalan berhampiran tapak pembuangan sampah di Bambangan Apartment, Inanam, dekat sini.
Bagaimanapun, tiada pengakuan diambil daripada Anderli, yang hadir di hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie, selepas pertuduhan dibacakan kepadanya.
Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu membawa hukuman sama ada hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekurang-kurangnya 15 sebatan.
Pihak pendakwaan memohon tarikh sebutan baharu sementara menunggu laporan ahli kimia dan membantah ikat jamin untuk Anderli kerana pertuduhan itu tidak mempunyai peruntukan ikat jamin.
Mahkamah menetapkan 2 Okt untuk sebutan semula sementara menunggu laporan ahli kimia dan memerintahkan Anderli ditahan reman selanjutnya.
Dalam kes lain, empat lelaki masing-masing dipenjara dua bulan kerana menceroboh.
Tiga buruh Arnasir Abdullah, 37, Adsmar Uddin, 32, dan Edar Boy, 32, serta penganggur Amirullah Jalah, 27, mengaku bersalah melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki tapak pelupusan sampah di Jalan Kayu Madang, Manggatal tanpa kebenaran antara 9.30 malam 5 Ogos dan 12.30 pagi 6 Ogos.
Mereka didakwa secara bersama mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, mahkamah dimaklumkan oleh pegawai pendakwa Inspektor Suzie @ Stephanie Kupit bahawa empat tertuduh dilihat menceroboh tapak itu oleh pengadu yang bekerja di sebuah syarikat kitar semula sisa.
Empat tertuduh kemudian ditahan dan diserahkan kepada polis, kata pihak pendakwaan.
Mahkamah memerintahkan keempat-empat mereka menjalani hukuman itu bermula dari tarikh mereka ditangkap serta memerintahkan Edar dan Amirullah dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas menjalani hukuman itu.
Dalam kes lain, empat lelaki dijatuhi hukuman kerana mengambil dadah.
Donald Douglas, Mohamad Rekam, Safuan Tajudin dan Hairul Adris mengaku bersalah melakukan kesalahan itu di lokasi berasingan di sini dan di Penampang antara 7 Jun dan 23 Jun.
Donald dipenjara lapan bulan, Mohamad dan Hairul masing-masing dipenjara tujuh bulan manakala Safuan didenda RM2,600 atau penjara 10 bulan.
Mengambil dadah mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.