Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 25 tahun yang merogol teman wanita bawah umur rakannya sehingga melahirkan bayi akibat perbuatan rogol itu, dipenjara lapan tahun dan dikenakan satu sebatan.
Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Nawi Rais yang mengaku bersalah kepada pertuduhan terhadapnya.
Mohd Nawi merogol remaja berusia 15 tahun dan lima bulan itu pada pukul 1 pagi Mac 2022 di sebuah hotel di Papar.
Dia melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Ketika menjatuhkan hukuman itu, mahkamah berkata dia berharap hukuman yang dijatuhkan terhadap Mohd Nawi dapat memberi pengajaran kepadanya dan orang lain.
Mahkamah berkata akibat rogol itu, seorang bayi lelaki telah dilahirkan tanpa pengetahuan Mohd Nawi.
Mahkamah juga menambah bahawa kesalahan itu bukan sahaja menjejaskan remaja itu tetapi juga merosakkan masa depan bayi tanpa bapa itu.
Ketika memohon hukuman ringan sambil menangis, Mohd Nawi yang tidak diwakili berkata, dia kesal dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu.
Dia memberitahu mahkamah bahawa isterinya kini hamil lapan bulan, ibu bapanya tidak sihat dan dia yang menjaga ibu bapanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Dacia Jane Romanus menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan dengan mengatakan ia kesalahan serius dan kes seksual membabitkan individu bawah umur sangat berleluasa.
Pada 17 Ogos 2022, mahkamah diberitahu bahawa seorang pegawai perubatan telah membuat laporan polis selepas mendapati seorang remaja mengandung akibat rogol.
Siasatan lanjut mendedahkan bahawa pada Mac 2022, remaja itu telah mendaftar masuk ke sebuah hotel di Papar selepas teman lelakinya yang juga di bawah umur menjemputnya.
Remaja itu dan teman lelakinya kemudian melakukan seks di hotel itu.
Selepas teman lelaki tersebut keluar dari bilik hotel, Mohd Nawi yang merupakan rakan teman lelaki itu dan juga berada di situ, kemudian masuk ke dalam bilik dan melakukan hubungan seks dengan remaja itu.
Pada 22 Nov 2022, remaja itu melahirkan bayi lelaki itu dan laporan DNA mengesahkan Mohd Nawi adalah bapa kandung bayi itu dan bukan teman lelakinya.
Pada prosiding Khamis, pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa teman lelaki bawah umur itu akan didakwa hari ini (Jumaat) di Mahkamah Kanak-Kanak Tuaran.