Kota Kinabalu: Inisiatif Dana Iklan Digital OHSEM sangat membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), namun kadar diskaun sesuai wajar diberi pertimbangan untuk mereka di Sabah dan Sarawak.
Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Datuk Andy Muhammad Suryady Bandy berkata pertimbangan kadar diskaun 85 peratus yang ditawarkan perlu agar lebih sinonim dengan keadaan usahawan PKS di negeri itu yang masih ketinggalan dari segi pendapatan.
“Sejumlah besar dalam kalangan usahawan PKS di Sabah masih belum mampu untuk menggunakan iklan berbayar dan sebagai alternatif, mereka lebih banyak menggunakan media sosial yang percuma untuk mempromosikan produk masing-masing,” katanya kepada Bernama di sini pada Jumaat.
Beliau berharap kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan untuk melihat inisiatif itu berdasarkan kemampuan usahawan PKS di Sabah supaya OHSEM mampu dinikmati oleh semua usahawan di seluruh negara dan tiada yang ketinggalan.
Khamis lepas, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil melancarkan OHSEM yang bernilai RM21 juta sebagai antara inisiatif menggalakkan usahawan PKS membuat pengiklanan menerusi platform kandungan tempatan.
Menerusi OHSEM, usahawan hanya perlu membayar RM1,000 sahaja iaitu diskaun sehingga lebih 85 peratus berbanding RM8,000 untuk capai 100,000 audiens dan ia terhad kepada 1,000 usahawan pertama yang membuat permohonan
Bagi Presiden Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana (SME) Sabah Prof Datuk Foo Ngee Kee berkata bayaran diskaun lebih sesuai untuk usahawan mempunyai modal besar seperti usahawan PKS di Semenanjung.
“Pasca-Covid-19 menyaksikan banyak usahawan PKS di Sabah masih bergelut untuk meningkatkan hasil pendapatan, dan mereka lebih memilih media sosial seperti Facebook sebagai medium pengiklanan untuk usahawan menjual produk secara percuma,” katanya.
Mengulas mengenai pengiklanan di media sosial, Foo berkata laman Facebook Group SME Sabah Community yang diwujudkan sejak dua tahun lalu kini mempunyai lebih 3,000 pengikut membolehkan usahawan PKS mengiklankan perniagaan mereka tanpa sebarang bayaran, setiap masa dan di mana juga mereka berada.
“Memang mereka (usahawan PKS) akan pilih media sosial sebab tiada kos, boleh muat naik tiap-tiap hari, setiap minggu pun boleh selain boleh menghasilkan video kerana orang lebih suka tengok video selain ada latar belakang muzik,” katanya.
Sementara itu di Sibu, Sarawak, seorang usahawan tempatan Dr Gregory Hii Sui Cheng berkata pengiklanan melalui platform kandungan premium seperti di akhbar dan secara dalam talian akan membantu usahawan mencapai kumpulan sasaran mereka berbanding cara pengiklanan tradisional.
“Saya menggalakkan usahawan Sarawak untuk memohon subsidi ini secepat mungkin dan belajar daripada pengalaman untuk mengiklankan produk mereka dengan lebih baik menggunakan platform yang dicadangkan,” katanya.
Sementara itu, kontraktor pembinaan Johny Sain yang memuji inisiatif itu sebagai langkah yang baik untuk merangsang ekonomi berkata usahawan PKS di Sarawak mungkin terlepas peluang memandangkan bilangan pemohon yang dihadkan kepada 1,000 orang.
“Ini adalah perkara yang bagus untuk usahawan PKS tetapi jika permohonan terhad, apa peluang yang ada untuk kami di Sarawak mendapatkannya? Berharap ia boleh ditawarkan secara tahunan dengan peruntukan dari kerajaan jadi lebih ramai usahawan mendapat manfaatnya,” kata beliau.
Beliau mencadangkan agar kerajaan melalui kementeriannya membantu usahawan PKS yang berkaitan.
“Contohnya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya boleh membantu menyalurkan peruntukan untuk mereka yang terlibat dalam industri berkaitan pelancongan seperti pengendali inap desa atau pembuat kraf. Saya pasti ramai yang berminat untuk memohon,” katanya.