MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah & Sarawak, dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata projek pembinaan Loji Rawatan Air Kogopon Fasa 2 di Papar bagi menaik taraf kapasiti pengeluaran air daripada 40 juta liter sehari (JLH) kepada 80 JLH, telah diberikan kepada kontraktor tiga minggu lalu dan ia dijadualkan siap dalam masa tiga tahun.
Beliau berkata, projek itu perlu dilaksanakan pada 2019 dan siap pada 2022, supaya menjelang 2023, Wilayah Selatan Kota Kinabalu membabitkan Papar, Kimanis dan Putatan tidak menghadapi sebarang masalah bekalan air.
Tetapi sebaliknya, katanya ia telah memberi kesan negatif di mana orang ramai menghadapi masalah bekalan air, tahun ini.
“Saya dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor akan melawat tapak projek Loji Rawatan Air Kogopon Fasa 2 pada penghujung bulan ini di mana kami akan diberi taklimat oleh kontraktor dan Jabatan Air mengenai perkembangan projek itu.
“Saya difahamkan bahawa kontraktor telah memasuki tapak untuk memulakan kerja-kerja awal di tapak dan dengan itu Ketua Menteri dan saya ingin melihat kemajuan kerja pada akhir Ogos.
“Lawatan ini cukup penting bagi memastikan projek dijalankan mengikut jadual tanpa sebarang pelanjutan masa (EOT). Kami akan memantau dengan rapi dan saya harap isu pra-pelaksanaan, isu penyelarasan dan isu tanah, antara lain akan diselesaikan dan projek itu dapat dimulakan segera. Itu yang kita jangkakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Cabaran Interaktif Pengguna, Kelab Pengguna Sekolah (CIP KPS) di Taman Hidupan Liar Lok Kawi dekat sini pada Sabtu.
Malah, kata Armizan, terdapat masalah air di Papar pada Sabtu apabila Loji Rawatan Air Kogopon Fasa 1 terpaksa ditutup apabila bacaan klorida lebih tinggi daripada paras biasa.
Justeru, katanya catuan air perlu dijalankan di kawasan tertentu.
Sementara menunggu projek itu siap dalam tempoh tiga tahun, beliau berkata pihaknya telah melaksanakan dua langkah jangka pendek iaitu dengan memasang tangki statik besar di beberapa kampung yang sentiasa menghadapi masalah air.
Kedua, katanya telah berbincang dengan Jabatan Mineral dan Geosains yang mempunyai kepakaran mengenal pasti kawasan di Papar untuk memasang telaga tiub.
Armizan berkata sekiranya penduduk Papar menghadapi masalah bekalan air, dua alternatif itu boleh mengurangkan masalah bekalan air.