Kota Kinabalu: Larian Amal Taman Kinabalu edisi sulung bakal diadakan pada 11 Novemberi ini.
Larian yang dianjurkan oleh Taman-Taman Sabah dan Sutera Sanctuary Lodges akan berlangsung di tengah-tengah persekitaran yang menakjubkan di Taman Kinabalu, tapak Warisan Dunia Unesco pertama di Malaysia dan di dalam Geopark Global Kinabalu yang baru diisytiharkan oleh Unesco.
“Penerima manfaat acara amal ini ialah Yayasan Starfish Malaysia dan Persatuan Penjagaan Paliatif KK,” kata penganjur dalam kenyataan, baru-baru ini.
“Acara ini bertujuan bagi memberi impak yang berkekalan kepada kehidupan kanak-kanak kurang bernasib baik Sabah yang tinggal di kawasan luar bandar, serta menyediakan penjagaan paliatif yang penting kepada masyarakat memerlukan.”
Mereka menambah, ada yang menghadapi kesusahan yang tidak dapat dibayangkan, keciciran keperluan asas, pendidikan, penjagaan kesihatan, dan keselesaan penjagaan yang penuh belas kasihan.
“Dana yang dikumpul melalui tajaan dan pendaftaran peserta akan digunakan untuk menyediakan sumber dan sokongan yang amat diperlukan kepada Yayasan Starfish Malaysia dan Persatuan Penjagaan Paliatif KK.
“Organisasi ini berdedikasi untuk meningkatkan kehidupan kanak-kanak kurang bernasib baik di kawasan luar bandar dan menyediakan penjagaan terbaik kepada masyarakat yang memerlukan sokongan paliatif,” kata mereka.