Kota Kinabalu: DAP Sabah menggesa Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyatakan pendiriannya dan mengambil tindakan tatatertib terhadap Presiden SAPP Datuk Seri Yong Teck Lee yang, dakwanya, cuba menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan.
Setiausaha Pemuda Sosialis Parti Tindakan Demokratik (DAPSY), Chan Long Wei, berkata GRS akan dilihat sebagai tidak berterima kasih atas sokongan Pakatan Harapan (PH) Sabah jika membenarkan Parti Progresif Sabah yang mesra Perikatan Nasional bertanding di bawah panji-panji GRS di Sabah pada pilihan raya akan datang. DAP adalah komponen PH.
Beliau mengingatkan GRS bahawa PH Sabah memainkan peranan penting semasa krisis politik Sabah Januari lalu apabila GRS menghadapi cabaran oleh puak Umno dalam Barisan Nasional yang cuba menggulingkan Kerajaan Negeri pimpinan Hajiji dengan bekerjasama dengan Parti Warisan.
“Pakatan Harapan membantu GRS dalam mengekalkan kestabilan politik semasa krisis, berpegang kepada prinsip menentang mana-mana kerajaan pintu belakang daripada mengambil alih. Sekiranya bantuan ini tidak dihargai, maka kerjasama itu boleh dihentikan kerana penghormatan sepatutnya dari dua arah,” katanya dalam satu kenyataan.
“Tetapi nampaknya GRS tidak membalas terima kasih ini. Selepas enam pilihan raya negeri semenanjung Sabtu lepas, Yong telah mengisytiharkan hasrat untuk bertanding dalam pilihan raya, sambil menegaskan bahawa parti-parti yang berpangkalan di semenanjung tidak harus bertanding di sini.
“Ini menimbulkan persoalan mengenai GRS dan sama ada ia bersedia untuk menentang Pakatan Harapan dan Kerajaan Perpaduan. Adakah ia niat tulen GRS atau hanya gerakan pentingkan diri oleh SAPP?
Beliau bertanya sama ada kenyataan Yong mencerminkan sentimen GRS dengan tujuan menyemai perbalahan dalam PH Sabah dan menyediakan raung untuk bekerjasama dengan PN dalam pilihan raya Sabah akan datang.
Chan menyatakan bahawa keadaan itu jelas kerana Yong secara terbuka mengisytiharkan kedudukannya dalam PN dan bahawa dia sedang berusaha untuk menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan.
“Tambahan lagi, Yong tanpa segan silu menuntut GRS untuk bertanding di semua kerusi DUN. Ini menimbulkan syak wasangka agenda tersembunyi, berkemungkinan untuk membentuk pakatan dengan PN selepas pilihan raya dan menggugat Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Chan berkata rakyat Sabah masih ingat suasana sebelum pilihan raya semenanjung apabila Ketua Menteri dan Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor, muncul bersama Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mempamerkan perpaduan dan sokongan kepada calon-calon Kerajaan Perpaduan.
“Sebaliknya, Yong dilihat pada mesyuarat majlis tertinggi PN dengan Menteri Besar Kedah Mohd Sanusi Md Nor, menandakan pendirian yang jelas. Berdasarkan keputusan enam pilihan raya negeri, pengaruh PN secara beransur-ansur menyusup masuk ke kawasan bandar.
“Sama ada ia akan sampai ke Sabah adalah topik yang lazim. Hakikatnya, PN mempunyai kerusi parlimen Beluran yang disandang oleh Datuk Seri Ronald Kiandee.
“Tidak dinafikan PN akan bertanding dalam pilihan raya Sabah akan datang, dan pastinya mereka akan memainkan kad perpecahan terhadap rakyat Sabah.
“Pada masa ini, memandangkan SAPP kekal bersama PN, rakyat Sabah akan menilai sendiri dan membuat keputusan dalam pilihan raya akan datang.
“Bagi PH, kami bersedia untuk mempertahankan kerusi kami dengan bersungguh-sungguh, berdiri bersama Anwar dan Kerajaan Perpaduan untuk menjaga kepelbagaian Malaysia dan melindungi hubungan etnik dan agama Sabah yang harmoni,” katanya.
Beliau berkata DAP dan PH Sabah memberi tumpuan untuk membina semula ekonomi bersama-sama Kerajaan Persekutuan untuk Sabah dan Malaysia.